Beberapa bulan ini, Nothing tidak henti-henti mengutuskan teaser tentang telefon flagship mereka yang seterusnya melalui laman media sosial. Selepas berbulan penantian, kini Nothing akhirnya telah melancarkan secara rasmi Nothing Phone (3), yang kini mereka gelarkannya sebagai telefon “flagship sebenar”.
Model Phone (3) baru kini lebih berkuasa, dilengkapi kamera lebih baik, serta tampil dengan rupa baharu. Jom kita lihat apa yang perkara baru pada phone (3).
Lampu Glyph diganti dengan skrin bulat Glyph Matrix

Satu perkara yang masih dikekalkan pada Noting phone 3 daripada model sebelum ini adalah panel belakang lut sinar. Ia juga ditawarkan dalam dua warna sama iaitu hitam dan putih. Tetapi, perubahan terbesar kali ini terletak pada rekaan panel belakangnya, Tiada lagi lampu Glyph, sebaliknya digantikan dengan apa yang dipanggil sebagai skrin Glyp Matrix.
Terletak di bahagian atas kanan panel belakang, Glyph Matrix adalah skrin berbentuk bulat yang menampilkan 489 LED. Ia boleh memaparkan maklumat macam notifikasi melalui gabungan suara dan cahaya, atau digunakan untuk memaparkan kiraan detik kamera, lampu suluh, tahap kelantangan audio dan status bateri telefon.

Malah, ia turut akan menunjukkan animasi khas apabila fungsi NFC telefon digunakan, dan lengkap dengan fungsi Glyph Toy yang menawarkan lebih banyak antaramuka menarik seperti Glyp Mirror, yang boleh memaparkan previu selfie dalam imej yang berpiksel, permainan seperti batu gunting kertas dan banyak lagi.
Di bawahnya terdapat butang kapasitif berbentuk bulat yang boleh digunakan sebagai kawalan untuk skrin Glyph Matix.
Lagi perkara baru adalah, terdapat lampu berwarna merah pada panel belakang yang akan menyala apabila anda merakam video atau audio. Meskipun mengalami perubahan rekaan yang ketara, Nothing Phone 3 masih kekal diiktiraf kalis air dan debu IP68.
Lebih berkuasa dengan Snapdragon 8s Gen 4

Nothing menggelarkan Nothing Phone (3) sebagai telefon flagship sebenar pertama mereka. Namun begitu, ia tidak menerima cip Qualcomm terhebat pada masa kini, Snapdragon 8 Elite, sebaliknya menggunakan Snapdragon 8s Gen 4 terbaharu. Ia masih sebuah cip yang berkuasa, tetapi tidaklah menyamai apa yang ditawarkan pada cip flagship Snapdragon 8 Elite.
Walau bagaimanapun, ini masih satu peningkatan dari Snapdragon 8+ Gen 1 di Phone (2). Di pasaran global, Nothing Phone (3) boleh didapatkan dalam dua konfigurasi, sama ada dengan RAM 12GB dan storan 256GB, atau RAM 16GB dan storan 512GB.
Beralih di bahagian skrin, panel yang digunakan pada Phone (3) kini sedikit lebih kecil, bersaiz 6.67″ jenis AMOLED beresolusi 1.5K (2800×1260) dengan kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak HDR mencecah 1,600 nits. Lubang di atas skrin menempatkan kamera depan 50MP f/2.2.
Kini dilengkapi kamera telefoto periskop

Kalau ada peningkatan ketara, ia adalah pada bahagian kamera belakang. Berbanding dua kamera, Nothing Phone (3) kini tampil dengan tiga kamera belakang, yang terdiri daripada kamera utama 50MP f/1.68 dengan sensor bersaiz 1/1.3″ dan sokongan OIS, kamera telefoto periskop 50MP f/2.68 mampu zum optikal 3x dengan OIS dan kamera ultralebar 50MP f/2.2.
Kapasiti bateri turut dipertingkatkan kepada 5,150mAh dan ia menyokong pengecasan 65W melalui USB-C atau wayarles 15W. Ia turut menyokong pengecasan terbalik secara berwayar atau wayarles, masing-masing pada kadar 7.5W dan 5W.

Sejurus keluar kotak, Phone (3) akan menjalankan sistem operasi Nothing OS 3.5 berasaskan Android 15, dan dijamin akan menerima kemas kini OS selama 5 tahun dan 7 tahun keselamatan. Nothing turut mengatakan Nothing OS 4.0 berasaskan Android 16 akan tiba pada suku ke-3 tahun 2025.
Harga dan ketersediaan Nothing Phone (3)

Nothing Phone (3) boleh dipratempah di pasaran global bermula 4 Julai, dengan jualan pertamanya dijangka akan bermula pada 15 Julai. Berikut adalah harga jualan Phone (3) di Amerika Syarikat:
- Nothing Phone (3) 12GB+256GB – USD 799 (~RM3,367)
- Nothing Phone (3) 16GB+512GB – USD 899 (~RM3,788)
Ketika ini, pendaftaran minat untuk Phone (3) sudah dibuka di Malaysia melalui laman web Nothing, bagi mereka yang ingin menerima makluman terkini serta perkembangan pelancarannya di pasaran tempatan.\
Sebagai maklumat tambahan, Nothing Phone (2) dilancarkan pada Julai 2023 dengan tanda harga RM2,999 utnuk storan 256GB dan RM3,499 untuk storan 512GB. Dengan segala naik taraf yang diberikan kepada Phone (3), anda boleh jangkakan harganya akan lebih mahal jika dilancarkan di Malaysia nanti.