Kalau anda peminat aktiviti lasak seperti mendaki gunung, berjalan jauh atau larian denai, tapi rasa stamina selalu jadi penghalang, berita ini mungkin menarik perhatian anda. Hypershell, jenama teknologi dari China, kini telah melancarkan eksorangka (exoskeleton) boleh pakai mereka buat pertama kali untuk pasaran Malaysia, dikenali sebagai siri Hypershell X.
Siri Hypershell X terdiri daripada tiga model utama, Go X, X Pro, dan Carbon X. PowerSuite eksorangka pintar ini menggunakan motor berkuasa tinggi dan AI untuk bantu anda melangkah lebih jauh, lebih pantas dan dengan kurang tekanan pada tubuh anda.

Ketiga-tiga model ini menawarkan sehingga 1 kuasa kuda untuk menyokong pergerakan seperti berjalan, berlari dan mendaki. Ia dikuasakan oleh sistem motor M-One Exoskeleton dengan kuasa bantuan setinggi 800W, dan menyokong jarak gerak sehingga 17.5km dalam satu cas. Menurut Hypershell, penggunaan PowerSuit ini boleh meningkatkan kekuatan kaki sehingga 40% dan mengurangkan keletihan fizikal sebanyak 30%.
Rekaannya juga kompak dan ringan, dengan berat sekitar 2.4kg termasuk bateri. Malah, ia mempunyai kebolehan penyesuaian fleksibel sehingga 300° pergerakan tork, membolehkan pengguna dari pelbagai saiz badan memakainya dengan selesa.


Selain itu, Hypershell X turut dilengkapi dengan teknologi MotionEngine canggih yang mampu mengesan pergerakan masa nyata menggunakan sensor berketepatan tinggi. Sistem ini membuat ribuan pengiraan per saat dan boleh bertindak balas sepantas 0.03 saat, memberikan bantuan pergerakan yang terasa semula jadi.
Bukan itu sahaja, sistem AI terbina juga akan belajar dan menyesuaikan gaya bantuan mengikut corak pergerakan anda dari masa ke masa, menjadikan pengalaman lebih peribadi dan intuitif. Dari segi ketahanan, Hypershell X direka untuk tahan dalam pelbagai situasi ekstrem, dari suhu serendah -20°C hingga setinggi 60°C, dan mempunyai penarafan kalis percikan air dan debu IP54.

Selain PowerSuit itu sendiri, Hypershell turut memperkenalkan AeroFlex Softsuit, pakaian sokongan yang direka khas untuk dipakai bersama eksorangka. Ia menggunakan bahan ringan dan fleksibel dengan 10 lapisan material komposit dan padding setebal 4mm untuk keselesaan dan pengagihan tekanan yang sekata. Kainnya kalis air, ada pengaliran udara dan elastik, sesuai untuk penggunaan jangka panjang walaupun dalam keadaan ekstrem.
Bateri yang digunakan hanya seberat 400g tetapi mempunyai kapasiti 72Wh (5,000mAh) dan menyokong pengecasan pantas 65W. Ia juga boleh dicas menggunakan stesen janakuasa mudah alih atau kereta elektrik. Dengan teknologi Battery Management System (BMS), kapasiti bateri kekal 80% walaupun selepas 800 kitaran cas penuh.

Untuk kawalan pintar, anda boleh gunakan aplikasi Hypershell+ untuk memantau statistik prestasi dan menyesuaikan mod bantuan terus dari telefon.
Harga siri eksorangka Hypershell X di Malaysia

Kalau berminat, ketiga-tiga Go X, X Pro, dan Carbon X boleh didapati di Malaysia sekarang melalui Shopee, Lazada, TikTok Shop, dan laman rasmi Hypershell Malaysia. Berikut adalah harga jualannya di Malaysia: Sempena pelancaran, Hypershell turut menawarkan diskaun khas dan hadiah percuma untuk pembelian sehingga 31 Ogos 2025:
- Hypershell Go X –
RM4,999RM4,499 - Hypershell X Pro –
RM5,999RM5,499 - Hypershell Carbon X –
RM8,499RM7,999
Turut ditawarkan ialah aksesori tambahan seperti bateri gantian, tali pinggang tambahan dan Charging Hub dengan harga antara RM299 hingga RM899.