DJI memang terkenal dengan penawaran dron berkamera dan kamera aksi mereka. Tetapi mereka belum pernah menawarkan mana-mana kamera 360 darjah, sehinggalah sekarang. Ini kerana, DJI telah melancarkan kamera 360 darjah pertama mereka yang dipanggil sebagai DJI Osmo 360.
Menariknya, kamera ini menyokong rakaman sehingga 8K, dilengkapi storan dalaman besar, serta hadir dalam rekaan yang kompak dan ringan. Berita baik untuk peminat tempatan, Osmo 360 kini sudah mula dijual secara rasmi di Malaysia.
Sensor 1″ berbentuk segi empat, boleh rakam 8K

Osmo 360 dilengkapi sensor HDR baharu berbentuk segi empat bersaiz 1 inci, yang menurut DJI, adalah pertama seumpamanya dalam industri dan direka khusus untuk rakaman 360 darjah. Dengan sensor ini, penggunaan ruang permukaan sensor meningkat sebanyak 25%, sekaligus menghasilkan imej lebih berkualiti dan penggunaan tenaga lebih cekap berbanding sensor 1″ tradisional.

Melaluinya, Osmo 360 mampu merakam video pada 8K/30fps dengan sudut pandangan penuh 360 darjah, atau sehingga 8k/50fps untuk kualiti lebih tinggi. Ia juga menyokong rakaman 4K pada 100fps, membolehkan penghasilan video gerak perlahan sehingga 4x dalam format 360°. Sensor jenis CMOS 1/1.1″ ini menggunakan piksel bersaiz besar 2.4μm, apertur f/1.9 dan menyokong sehingga 13.5 stops dynamic range.

Bagi rakaman malam, terdapat mod SuperNight untuk prestasi rendah cahaya yang lebih baik. Ia juga menyokong rakaman 10-bit dan didatangkan dengan mod D-Log M untuk fleksibiliti penyuntingan warna. Sementara itu, untuk foto, Osmo 360 mampu untuk menangkap gambar 360° dengan resolusi 120MP dalam format JPEG.



Lebih menarik lagi, sekiranya anda tak perlukan rakaman 360 darjah, anda boleh menukar kepada mod kamera satu-lensa dengan rakaman 5K/60fps dengan sudut ultralebar 155°, atau aktifkan Boost Mode untuk pandangan sehingga 170° dengan rakaman 4K/120fps. Tiada penstabil imej optikal disertakan, tetapi Osmo 360 dilengkapi dengan teknologi penstabilan 360° HorizonSteady dan RockSteady 3.0.
Hayat bateri sehingga 100 minit

Dari segi hayat bateri, Osmo 360 boleh beroperasi sehingga 100 minit untuk rakaman 8K/30fps, menggunakan bateri 1,950mAh terbina. Tetapi jika anda mahukan rakaman lebih lama, ia boleh digandingkan dengan aksesori Battery Extension Rod, memberikan masa rakaman lebih panjang sehingga 4.5 jam dalam 8k/30fps.

Rod ini turut berfungsi sebagai pemegang yang lengkap dengan butang kawalan seperti sleep/wake dan rakaman. Pengecasan pantas turut disokong, membolehkan Osmo 360 dicas ke 50% dalam masa hanya 12 mint. Lagi perkara yang disokong termasuk
Reka bentuk kompak, tahan lasak

Dengan berat hanya 183g, Osmo 360 dikatakan DJI dibina untuk berfungsi dalam cuaca ekstrem, termasuk suhu serendah -20°C. Ia mempunyai penarafan IP68 dan boleh digunakan terus di dalam air sehingga 10 meter, tanpa perlu sarung khas, hanya jika port UBS-C dan bateri ditutup dengan rapat.

Selain itu, ia juga hadir dengan storan dalaman sangat luas 105GB dengan sokongan kad mikroSD sehingga 1TB untuk ruang tambahan. Ia boleh dikawal melalui skrin sesentuh 2 inci, menyokong rakaman audio stereo melalui empat mikrofonnya, serta dilengkapi sistem bateri kunci (battery lock) untuk keselamatan tambahan.

Lagi ciri yang disokong Osmo 360 termasuk kawalan rakaman melalui isyarat tangan atau suara, Intelligent Tracking untuk menjejak subjek dalam bingkai, Editing Assistant untuk mengenal pasti orentasi rakaman secara automatik, Invisible Stick, serta penyuntingan melalui aplikasi mudah alih DJI Mimo atau perisian komputer DJI Studio, dengan plugin khas tersedia di Premiere.
Osmo 360 turut menampilkan sambungan WiFi 6.0, Bluetooth 5.1 untuk pemindahan fail secara wayarles 90MB/s, serta secara berwayar melalui USB-C lebih pantas sehingga 600MB/s.
Harga DJI Osmo 360 di Malaysia

DJI Osmi 360 kini boleh didapati di Malaysia pada harga seperti berikut:
- DJI Osmo 360 Standard Combo – RM1,879
- DJI Osmo 360 Adventure Combo – RM2,369


Anda boleh belinya melalui stor rasmi DJI di Lazada dan Shopee.
Untuk maklumat lanjut berkenaan spesifikasi, anda boleh layari laman produk DJI Osmo 360.