Apple kini secara rasmi telah memperkenalkan AirPods Pro 3, tiga tahun selepas AirPods Pro 2. Model baharu ini membawa peningkatan bukan sahaja dari segi bunyi, malah termasuk penjejakan kadar denyutan jantung, sistem penyaring hingar aktif (ANC) yang lebih baik, dan bateri lebih tahan lama.
Sistem ANC lebih baik

Apple mendakwa AirPods Pro 3 menawarkan ANC (Active Noise Cancellation) terbaik di dunia untuk fon putik, mampu menapis bunyi sehingga dua kali ganda berbanding AirPods Pro 2 dan empat kali ganda berbanding AirPods Pro pertama. Apple juga mengatakan, fon telinga baru ini menawarkan prestasi setanding fon kepala over-ear dalam saiz poket.

Selain itu, ia juga tampil dengan reka bentuk dalaman fon putik baharu bersama “foam-infused ear tips”, mikrofon ultra-rendah bunyi, dan computational audio direka untuk memperluas soundstage, menambah bass, dan memberi kejelasan lebih baik kepada suara. Mod Transparency juga telah diperbaiki supaya suara kedengaran lebih semula jadi.
Prestasi bateri turut dipertingkatkan, sehingga 8 jam main muzik dengan ANC aktif dan 10 jam dalam mod Transparency, peningkatan 67% berbanding AirPods Pro 2. Apple menyatakan tempoh Transparency yang lebih lama ini berguna untuk pengguna alat bantuan pendengaran, terutamanya dengan ciri Conversation Boost yang kini berfungsi automatik dalam persekitaran bising.
Kini boleh jejak kecergasan

Untuk pertama kali, AirPods kini boleh menjejak senaman menggunakan sensor kadar denyutan jantung terbina pada fon putik, sensor terkecil Apple setakat ini. Melalui sensor PPG (photoplethysmography), memancarkan cahaya infra merah halus 256 kali sesaat untuk mengukur aliran darah, digabungkan dengan data daripada akselerometer, giroskop, GPS, dan AI di iPhone.

Apple kata, model ini dilatih menggunakan 50 juta jam data senaman daripada kajian Heart and Movement Study melibatkan lebih 250,000 peserta, menjadikan penjejakan denyut jantung AirPods Pro 3 antara ciri kecergasan paling tepat yang pernah diperkenalkan.

AirPods boleh menjejak lebih 50 jenis aktiviti kecergasan terus dalam aplikasi Fitness, dan API baharu membolehkan pembangun seperti Ladder menambah metrik senaman berasaskan AirPods ke dalam aplikasi. Terdapat juga Workout Buddy berkuasa Apple Intelligence yang memberi maklum balas motivasi masa nyata.

Fon putik ini juga kalis percikan air dan debu IP57, pertama kali untuk AirPods dengan tahap ketahanan sebegini.
Terjemahan masa nyata

AirPods Pro 3 juga menyokong Live Translation menggunakan Apple Intelligence terbina. Dalam demo, Apple tunjukkan ciri ini boleh menterjemah frasa semasa perbualan, dengan terjemahan dipaparkan di iPhone dan dibacakan jika perlu. ANC akan automatik menurunkan kelantangan audio orang bercakap semasa terjemahan, memudahkan fokus pada audio.

Jika kedua-dua orang memakai AirPods Pro, pengalaman lebih lancar kerana terjemahan dihantar terus ke fon telinga masing-masing, membolehkan perbualan hands-free dan lebih semula jadi. Ciri ini kini menyokong bahasa Inggeris, Perancis, Jerman, Portugis, dan Sepanyol, dengan lebih banyak bahasa seperti Jepun, Korea, Itali, dan Cina (ringkas) menyusul tahun ini.

Apple kata mereka telah mengkaji lebih 10,000 imbasan telinga dan 100,000 jam penyelidikan untuk menambah baik rekaan AirPods Pro 3. Setiap fon telinga lebih kecil dan dibentuk untuk lebih sesuai dengan geometri saluran telinga, dengan 5 saiz ear tip, termasuk saiz baharu XXS.
Harga dan ketersediaan AirPods Pro 3 di Malaysia

Di Malaysia, AirPods Pro 3 dijual pada harga RM999, lebih murah berbanding harga pelancaran AirPods Pro 2 pada RM1,099 pada 2022.
Tempahan awal AirPods Pro 3 dibuka di Malaysia bermula Jumaat ini, 12 September, manakala ia akan mula dijual pada minggu hadapan, 19 September 2025.