PRISM+ hari ini mengumumkan dua produk baharu untuk pasaran Malaysia, itaitu TV QD Mini-LED generasi terbaru siri U dan siri peti sejuk Inspire, yang dikatakan peti sejuk pertama di Malaysia dengan panel pintu boleh ubah suai sepenuhnya untuk estetik lebih moden.
PRISM+ U-Series QD Mini-LED Google TV

Menjadi tumpuan utama ialah barisan TV 4K QD Mini-LED siri U Google TV. Ia direka untuk beri pengalaman hampir setaraf OLED, tetapi pada harga jauh lebih rendah. Ia ditawarkan dalam empat saiz 55”, 65”, 75” dan 86”, dan setiap satu model diberi nama U55, U65, U75 dan U86. Selain daripada saiz, kesemua TV ini berkongsi spesifikasi yang sama.

Dari segi paparan, siri U menggunakan teknologi QD Mini-LED dengan pencahayaan belakang ultra-halus yang dipadankan dengan lapisan Quantum Dot QLED, menjadikan warna lebih hidup, tepat dan kaya, dengan hitam yang betul-betul dalam. Ia juga menyokong 93% gamut warna DCI-P3, serta ciri seperti Dolby Vision, HDR10+, Filmmaker Mode, Dolby Atmos dan AI 4K upscaling untuk visual lebih tajam.


Bagi para gamers, TV Siri U turut dilengkapi dengan kadar segar semula boleh ubah 144Hz (VRR), MEMC Gaming Mode, serta 2× port HDMI 2.1, 1x HDMI 2.0, 2x USB-A serta 1x RJ45. Bunyi TV pula dikeluarkan oleh sistem audio 2.1-channel terbina bersama subwoofer di bahagian belakang TV, serta menyokong Dolby Atmos untuk pengalaman audio lebih imersif.




Kesemua model hadir dengan Google TV, akses kepada lebih 5,000 aplikasi termasuk Netflix, Disney+, Prime Video dan Viu, bersama Chromecast Built-in dan kawalan suara Google Assistant.
Peti sejuk PRISM+ Inspire
Selain TV, PRISM+ juga masuk lebih jauh ke kategori perkakas rumah dengan memperkenalkan peti sejuk siri Inspire.

Terdapat dua model, iaitu Inspire SBS 750 Side-by-Side dengan kapasiti 750L, dan Inspire FDR 720 Four-Door berkapasiti 720L. Menariknya, pintu peti sejuk ini boleh dipadankan dengan panel kaca matte anti-silau dalam lima pilihan warna iaitu biru, merah jambu, perang, putih, dan hitam. Jadi anda boleh pilih warna mengikut gaya dapur masing-masing.
Walau bagaimanapun, disebabkan ia menggunakan panel kaca, PRISM+ menyatakan magnet peti sejuk tidak boleh dilekat pada pintu panel peti sejuk.



Selain rupa, PRISM+ turut tekankan fungsi premium. Ia hadir dengan Multi-Zone Cooling untuk kawalan suhu optimum setiap kompartmen, Metal Cooling panel yang mengekalkan kesejukan walaupun pintu kerap dibuka, serta penapis karbon anti-bau yang mampu hapuskan sehingga 99.9% bakteria.

Ciri lain termasuk inverter compressor (lebih jimat tenaga & senyap), True Total No-Frost, panel sentuh berwarna untuk kawalan mudah, dan waranti 12 tahun untuk compressor.
Harga dan ketersediaan

Harga rasmi untuk barisan TV siri U adalah adalah seperti berikut:
- PRISM+ U55 (55”) – RM2,599
- PRISM+ U65 (65”) – RM3,599
- PRISM+ U75 (75”) – RM4,999
- PRISM+ U86 (86”) – RM7,999
Tempahan awal untuk siri PRISM+ U akan bermula pada 3 Oktober 2025, dengan setiap pembelian disertakan pelbagai hadiah percuma dan langganan penstriman bernilai ratusan ringgit. Bagi model U55, U65 dan U75, setiap pembelian akan menerima:
- Papan kekunci PRISM+ 400 bernilai RM337
- Langganan penstriman bernilai RM801, meliputi:
- Viu (12 bulan)
- mewatch (3 bulan)
- Durioo+ (3 bulan)
- MYTV (12 bulan)
Manakala untuk model U86, pelanggan akan menerima pakej langganan penstriman yang sama bernilai RM801, ditambah dengan pemasangan percuma bernilai RM349. Selain itu, semua model dalam siri U turut hadir dengan waranti 2 tahun, serta diskaun RM80 untuk pembelian melalui Atome.
Berikut pula adalah harga jualan peti sejuk Inspire:
- Inspire SBS 750 – RM2,999
- Inspire FDR 720 – RM3,599
Seperti TV siri U, tempahan awal peti sejuk Inspire juga akan bermula pada 3 Oktober. Tarikh ketersediaan umum belum ditetapkan, tetapi PRISM+ mengatakan TV siri U akan tersedia sekitar awal November, manakala peti sejuk Inspire pula sekitar awal ke pertengahan November.