Kalau sebelum ini pengguna Celcom dan Digi perlu menggunakan aplikasi berbeza untuk menguruskan akaun masing-masing, kini semuanya disatukan. CelcomDigi hari ini telah melancarkan secara rasmi aplikasi mudah alih baharu “CelcomDigi”, yang menggabungkan kedua-dua aplikasi MyDigi dan Celcom Life ke dalam satu platform tunggal.
Aplikasi baharu ini akan menggantikan kedua-dua platform sedia ada tersebut, yang dijangka akan ditamatkan menjelang akhir tahun ini.
CelcomDigi menjelaskan bahawa aplikasi ini dibangunkan sepenuhnya oleh pasukan dalaman mereka, dengan tujuan memberi pengalaman digital yang lebih peribadi, selamat dan mudah digunakan. Pelancarannya juga menjadi satu pencapaian penting dalam usaha penyepaduan jenama CelcomDigi sejak penggabungan rasmi mereka tiga tahun lalu.
Aplikasi CelcomDigi kini boleh dimuat turun melalui Apple App Store dan Google Play Store.
Ciri dalam aplikasi CelcomDigi baru

Menurut CelcomDigi, aplikasi ini dibangunkan hasil maklum balas daripada lebih 10 juta pelanggan serta 100,000 penguji beta. Ia juga telah dijumpai dalam tempoh percubaan sejak April tahun ini lagi. Aplikasi ini menggabungkan ciri yang ditawarkan pada aplikasi Celcom Life dan My Digi sedia ada. Antara ciri utama dalam aplikasi ini termasuk:
- Urus pelbagai talian dan akaun dalam satu platform.
- Fungsi Auto-Reload Magic supaya talian prabayar kekal aktif tanpa gangguan.
- Boleh langgan kandungan hiburan seperti Disney+ dan Viu terus dari aplikasi.
- Fungsi Roaming pre-booking, membolehkan pelan perantauan diaktifkan sebaik tiba di luar negara.
- Terdapat juga fungsi log masuk biometrik, perlindungan peranti tunggal, dan pengesahan eKYC untuk keselamatan tambahan.
Selain fungsi pengurusan akaun, aplikasi ini turut menambah elemen interaktif seperti “Daily Streak”, iaitu cabaran selama 7 hari untuk ganjaran lebih banyak dan “3-2-1 Surprise” yang menawarkan hadiah kejutan setiap hari Rabu. Ia juga dilengkapi AI-RA, pembantu digital berasaskan AI yang tersedia 24 jam sehari bagi memberikan sokongan dan bantuan segera.
Menariknya, ciri “For You” dalam aplikasi ini akan mempelajari tabiat penggunaan anda dari masa ke masa, dan memberikan cadangan tawaran atau ganjaran yang lebih peribadi dan relevan.
Perlindungan digital

CelcomDigi turut menekankan aspek keselamatan dalam talian. Aplikasi ini dilengkapi dengan laman Keselamatan (Safety page) khas yang membolehkan pengguna mendapatkan panduan dan melaporkan insiden scam terus melalui aplikasi.
Untuk perlindungan tambahan, pengguna boleh melanggan MobileSHIELD pada RM4 sebulan, yang dikatakan melindungi pengguna daripada scam, aplikasi hasad, dan ancaman privasi. CelcomDigi turut menawarkan produk keselamatan lain dalam aplikasi seperti WebSHIELD, eSIM, dan Private SIM, untuk pengalaman digital yang lebih selamat.
Tawaran pelancaran eksklusif
Sempena pelancaran, CelcomDigi menawarkan beberapa promosi khas untuk pengguna aplikasi baharu ini:
- 100GB data berkelajuan tinggi hanya RM1, terhad kepada 1 juta pengguna pertama
- Diskaun langganan hiburan:
- Disney+ Basic pada RM12.90/sebulan
- Disney+ Premium pada RM27.90/sebulan
- Viu pada RM3.90/sebulan
- Perantauan dan panggilan IDD percuma selama 12 bulan, eksklusif untuk pelanggan pascabayar.
MyDigi & Celcom Life akan ditamatkan hujung tahun ini

Pengguna MyDigi dan Celcom Life digalakkan beralih segera ke aplikasi baharu ini sebelum kedua-duanya ditamatkan perkhidmatannya pada 31 Disember 2025.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Albern Murty berkata, “Peluncuran ini merupakan komitmen kami yang berpaksikan pelanggan sepenuhnya. Aplikasi baru ini menggabungkan ciri-ciri terbaik kedua-dua aplikasi sedia ada, dengan ciri perkhidmatan terbaru, dilapisi teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi sokongan dan keselamatan. Ia membekalkan pengalaman yang membawa segalanya ke tapak tangan anda, serta memberi anda kawalan sepenuhnya terhadap perkhidmatan dan kesalinghubungan digital.”