Menjejak aktiviti outdoor masa ini adalah satu trend. Bukan saja anda boleh berkongsi di platform sosial untuk memotivasikan rakan-rakan yang lain, anda juga boleh mendapatkan maklumat tentang prestasi anda. Seperti telefon pintar, produk penjejak aktiviti hadir dalam pelbagai konfigurasi dan julat harga.
Berkongsi aktiviti di media sosial kini jadi trend
Kebiasaannya, jika anda ingin produk dengan ciri A, anda terpaksa korbankan ciri B. Jika anda temui produk dengan ciri A dan ciri B, ciri C pula tiada dan begitulah seterusnya. Untuk Suunto 9, anda tak perlu berkompromi kerana ia adalah sebuah produk serba lengkap.
Walaupun murah, fungsi Amazfit Bip agak terhad
Suunto 9 lebih versatil dan taguh
Tidak kiralah anda berada dalam kategori pelari kasual, marathon, pengayuh basikal, pendaki gunung, pengunjung setia gym dan sebagainya, Suunto 9 mampu untuk merekodkan setiap satu aktiviti tersebut dalam satu pakej.
Ini adalah reviu Suunto 9. Tapi sebelum meneruskan bacaan, oleh sebab Suunto 9 ini sarat dengan fungsi-fungsi canggih, saya tak mungkin dapat mencubanya sekaligus dek terhadnya kemampuan saya. Saya tidak menawan Gunung Kinabalu, masih belum sertai kembara trans gunung, apatah lagi ultramarathon.
Suunto 9 di pergelangan nampak bulky
Jadi, reviu ini lebih meliputi kepada gaya hidup saya sebagai penulis di SoyaCincau BM.
Suunto 9 punya binaan yang teguh
Suunto 9 adalah flagship terbaru mereka selepas Spartan Ultra. Tidak banyak perubahan daripada segi fizikal yang boleh anda lihat. Badannya agak bulky dan memang terasa beratnya bila dipakai.
Muka jam mudah dilihat walau dibawah cahaya matahari
Apabila berada dalam ruangan sempit, badan jam beberapa kali berlanggar dengan dinding. Ia amat menyeriaukan oleh sebab disekeliling muka jam ini adalah besi bersisi tajam. Pastinya risiko tercalar itu ada.
Saya menyukai tiga butang kawalan yang ada pada bahagian kiri badan. Sungguhpun tidak tertanam seperti Casio Pro-Trek, belum pernah insiden tertekan berlaku kerana getah membran yang digunakan agak kenyal dan perlukan daya yang kuat untuk beri input pada telefon.
3 butang kawalan di sebelah kiri
Lubang di sebelah kanan badan jam adalah sensor baro
Muka jam dilengkapi paparan peka sentuhan. Tidaklah sesensitif jam tangan pintar, tapi cukup untuk menjalankan tugasnya. Saya tak kisah sangat kalau jam tangan sukan tiada paparan sentuh sebab biasanya ia tidak berfungsi semasa kita bersenam kerana jari diselaputi peluh. Lebih efisien jika kawalan menggunakan butang fizikal dilakukan.
Tidak ada pada Suunto Spartan, tali jam resin pada Suunto 9 boleh ditanggalkan tanpa sebarang peralatan. Jadi, anda boleh membukaya dengan mudah untuk dibersihkan ataupun menukar tali jam yang baru yang bersesuaian.
Tali jam boleh ditanggalkan tanpa peralatan
Belakang jam ada pengimbas denyut nadi. Selain merekodkan data nadi semasa melakukan aktiviti, ia juga boleh merekodkan nadi diluar aktiviti untuk mencari maklumat seperti kadar denyutan semasa berehat dan sebagainya. Tapi anda juga boleh gunakan pengimbas nadi Bluetooth yang ditambat pada dada jika ingin lebih kejituan.
Bahagian bawah jam ada pengesan nadi
Jam tangan ini dicas menggunakan kabel USB bermagnet. Yang saya gemar adalah kekuatan magnetnya amat kuat. Walaupun tidak dipegang secara fizikal, port pengecas tidak mudah tertanggal.
Kabel pengecas dilengkapi magnet kuat
Kemas kini firmware juga dibuat melalui kabel ini
Kekuatan magnet amat kuat, boleh angkat tin makanan
Intelligent Battery Mode adalah sesuatu yang genius
Saya sempat membawa jam tangan ini dalam beberapa aktiviti. Ia berfungsi seperti yang diiklankan. Tiada masalah ditemui semasa penggunaan dan memindahkan data ke APP Suunto di telefon lancar. Penggunaan bateri amat baik. Contohnya, aktiviti 30 minit hanya memakan bateri sebanyak 2% sahaja.
Waktu mengecas antara 2.5 jam hingga 3 jam
Tapi ciri yang saya ingin ketengahkan pada Suunto 9 in adalah Intelligent Battery Mode. Walaupun jam tangan memang terkenal dengan kapasiti yang kecil, tapi pada Suunto 9, anda boleh mendapat hayat penjejak GPS sehingga 5 hari lamanya, sesuatu yang belum ada pada mana-mana pesaingnya.
Ia adalah satu implementasi yang genius daripada jurutera di Suunto daripada segi pembangunan firmware Suunto 9. Sewaktu ingin memulakan aktiviti, anda boleh memilih mode bateri mana yang ingin digunakan. Jam akan menunjukkan anggaran hayat bateri mengikut mode-mode yang ada.
Seperti biasa, sebelum mula berlari, anda perlu menunggu jam mengunci isyarat sistem penjejak GPS tapi dalam kemas kini fimrware yang baru, ia turut menyokong GLONASS bagi membuatkan proses menjejak lebih jitu.
Pelbagai mode bateri ada untuk disuaikan dengan jenis aktiviti
Satu lagi implementasi genius adalah FusedTrack. Dalam Suunto 9 dilengkapi sensor akselerometer, kompas, dan giroskop. Ia dimanfaatkan sebaiknya bagi membantu sensor Global Navigation Satellite System (GNSS) menjejak kedudukan anda dengan cara mengisi maklumat kedudukan diantara titik koordinate GNSS.
Bukan saja ia menjimatkan bateri kerana cip GNSS tidak perlu bekerja lebih keras, ia menghasilkan jejak trek yang lebih halus dan tepat.
Selain sensor GNSS dan akselerometer, Suunto 9 juga ada sensor barometer. Jika anda seorang pendaki gunung, ia juga akan digunakan untuk mengukur ketinggiaan serta suhu persekitaran, perkara yang tidak boleh dilakukan sensor GNSS.
APP Suunto ada dalam versi Android dan iOS
Sesudah aktiviti, saya boleh menyambungkan jam ini pada APP Suunto yang boleh dimuat turun di Andoird dan iOS. Proses mendaftarkan jam di telefon saya rasakan mudah dan dipandu baik oleh UI.
Maklumat dipersembah dalam format mudah difahami
Semua aktiviti akan di-sync-kan masuk ke telefon dan ia boleh dikongsi di platform sosial jika anda mahu.
Contoh laporan aktiviti dalam APP
Kesimpulan
Suunto 9 adalah kemuncak pada kejuruteraan Suunto selepas Spartan Ultra. Walaupun tidak banyak bezanya pada sudut fizikaliti, disebalik badan lasak itu ada seribu satu fungsi yang meliputi hampir segenap pelosok disipllin aktiviti.
Suunto 9 sesuai untuk orang yang aktif
Sekiranya anda seorang yang versatil dan melakukan pelbagai aktiviti secara rambang, Suunto 9 adalah padanan yang sesuai untuk anda.
Paling menarik adalah implementasi Intelligent Battery Mode dan FusedTrack yang amat membantu memanjangkan hayat bateri jam tangan sekiranya anda melakukan aktiviti berdurasi panjang.
Sedang pesaingnya lebih menjurus pada fungsi lifestyle seperti kemapuan masukkan MP3 ataupun mengawal Spotify, Suunto 9 memasukkan ciri yang sepatutnya ada untuk sebuah jam tangan sukan.
Sekiranya anda ingin memiliki sebuah Suunto 9, ia hadir dalam dua varian. harganya bermula RM2,299 untuk Suunto 9 manakala RM3,199 untuk varian yang dilengkapi sensor barometer. Pesaing terdekat Suunto 9 adalah Garmin Fenix 5 yang dijual pada harga bermula RM2,650.
Anda boleh layari laman rasmi produk untuk maklumat lanjut atauapun gedung dalam talian untuk melakukan pembelian.