Poco, subjenama Xiaomi kini nampaknya bersiap sedia untuk melancarkan peranti flagship terbaharu mereka, siri Poco F8. Melalui pengumuman di laman media sosial, Poco menyatakan bahawa siri Poco F8 akan membuat kemunculan globalnya di Bali, Indonesia pada hari Rabu, 26 November 2025 pada jam 4 petang.
Hantaran itu tidak menyebut model yang bakal diperkenal. Namun berdasarkan siri Poco F7 sebelum ini yang diumumkan pada bulan Mac, dijangka siri Poco F8 akan datang turut terdiri daripada dua model sama, Poco F8 Pro dan Poco F8 Ultra, dengan model F8 biasa pada suatu masa nanti. Untuk pengetahuan anda, varian biasa F7 dilancar pada bulan Jun.
Siri Poco F8 dijual di Malaysia bermula 26 November

Dalam masa yang sama, Poco juga telah mengaktifkan halaman Malaysia bagi pelancaran siri Poco F8. Menurutnya, jualan siri Poco F8 di Malaysia akan bermula pada 26 November 2025, dan pengguna boleh membuat tempahan dari sekarang sehingga 26 November. Pengguna juga akan menerima kupon diskaun bernilai RM150 dan juga mi points sebanyak 200.
Selain itu, Poco turut menawarkan beberapa tawaran ekslusif kepada pengguna termasuk penggantian percuma skrin dalam masa 6 bulan, jaminan kualiti 24 bulan, langganan YouTube Premium 3 bulan, langganan Spotify sehingga 4 bulan, storan awan 100GB Google One selama 6 bulan, pelan tukar beli dan ansuran 0% sehingga 24 bulan.
Lagi menarik, dalam satu hantaran media sosial terbaharu, Poco juga memaklumkan siri Poco F8 ini menampilkan kerjasama dengan Bose untuk bahagian audionya. Lebih daripada itu, maklumat spesifikasi siri Poco F8 masih lagi tandus setakat ini.
Spesifikasi siri Poco F8

Berdasarkan laporan GSMArena, dipercayai Poco F8 Ultra adalah penjenamaan semula daripada Redmi K90 Pro Max dengan beberapa perbezaan, manakala Poco F8 Pro pula daripada Redmi K90. Kedua-dua model Redmi ini sudah dilancar di China pada hujung Oktober.
Sekiranya benar, kita boleh menjangkakan model F8 Ultra akan dilengkapi cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 dipadankan sehingga RAM 16GB dan storan 1TB, skrin AMOLED 6.9″ 120Hz berkecerahan 3,500 nits, tetapan trikamera 50MP untuk lensa utama, ultralebar dan telefoto, bateri 7,560mAh dengan pengecasan 100W berwayar.
Untuk model F8 Ultra, anda boleh jangkakan ia memiliki skrin AMOLED sedikit lebih kecil 6.59″, bateri 7,100mAh sokong pengecasan 100W berwayar, selain turut menggunakan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5. Ia juga akan datang dengan RAM sehingga 16GB dan storan sehingga 1TB. Bahagian pengimejan pula dilengkapi dengan kamera utama, telefoto 50MP dan kamera ultralebar 8MP.
Pastinya maklumat yang diperoleh setakat ini tidak dapat disahkan kesahihannya. Untuk kepastian, perlulah tunggu pelancarannya akan berlangsung pada minggu hadapan, 26 November 2025, di mana kita dapat mengetahui spesifikasi penuh serta harga jualannya rasmi di Malaysia. Sebagai rujukan anda, berikut adalah harga siri Poco F7:
Poco F7 Pro
- Poco F7 Pro (RAM 12GB dan sotran 256GB) – RM2,299
- Poco F7 Pro (RAM 12GB dan sotran 512GB) – RM2,499
Poco F7 Ultra
- Poco F7 Ultra (RAM 12GB dan sotran 256GB) – RM2,999
- Poco F7 Ultra (RAM 12GB dan sotran 512GB) – RM3,299






