Bermula hari ini, 1 Disember 2025, proses pengesahan MyDigital ID mula diintegrasikan ke dalam semua aplikasi telco di Malaysia. Perkara ini pertama kali diumumkan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil awal November sebagai usaha memastikan setiap nombor telefon mudah alih dipautkan kepada identiti digital yang sah.
Menurut kenyataan rasmi MyDigital ID, langkah ini bertujuan melindungi pengguna daripada panggilan scam, penyamaran identiti dan penipuan, masalah yang sering berlaku apabila SIM prabayar didaftarkan tanpa pengesahan atau menggunakan maklumat dicuri. Ia juga akan menghalang individu daripada mengaktifkan SIM baharu menggunakan MyKad orang lain.
Tanpa integrasi ini, seseorang boleh mendaftarkan sehingga lima SIM bagi setiap telco. Dengan 12 telco beroperasi, ini bermakna seorang individu berpotensi memiliki sehingga 60 SIM berdaftar, satu kelompongan besar yang cuba ditutup melalui MyDigital ID.
Kelebihan penggunaan MyDigital ID di app telco

Dengan sokongan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan diselaraskan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), langkah baharu ini terdiri daripada tiga komponen utama:
- Pengguna boleh menyemak semua nombor prabayar yang didaftarkan menggunakan nombor MyKad mereka, dan mengesahkan yang benar-benar milik mereka.
- Semua pendaftaran SIM prabayar baharu wajib disahkan melalui aplikasi telco masing-masing.
- Pengguna akan menerima proses log masuk Single Sign-On (SSO) yang lebih selamat dan lancar, sekali gus mengelakkan pengambilalihan akaun, phishing dan akses tidak sah.
Ketua Eksekutif NACSA, Ir. Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin menjelaskan bahawa pelaksanaan akan berbeza mengikut telco. Ada telco yang mula dengan satu komponen terlebih dahulu, manakala yang lain mungkin melaksanakan lebih daripada satu secara serentak. Pelaksanaan penuh akan dibuat secara berperingkat.
Untuk makluman anda, MyDigital ID ialah platform identiti digital yang bertindak sebagai sambungan digital yang sah kepada identiti MyKad anda. Ia telah pun digunakan dalam beberapa aplikasi kerajaan dan menjadi kaedah log masuk wajib untuk aplikasi MyBayar PDRM dan seterusnya MyJPJ . Sistem ini hanya terpakai kepada warganegara Malaysia.






