Samsung secara rasmi memperkenalkan Exynos 2600, cip mudah alih flagship generasi seterusnya yang menggantikan Exynos 2500, diumumkan pada Jun lalu. Ia turut menjadi SoC pertama dalam industri yang dibina menggunakan proses 2nm Gate-All-Around (GAA). Menurut Samsung, cip ini direka untuk menawarkan prestasi lebih tinggi sambil mengekalkan kecekapan tenaga, dengan fokus kepada AI atas peranti, gaming dan pengalaman mudah alih berprestasi tinggi.
Pemproses baharu ini dikatakan Samsung menggabungkan CPU, GPU dan NPU dalam satu cip kompak, membolehkan pelbagai tugasan berat seperti pemprosesan AI, permainan grafik tinggi dan rakaman kamera resolusi tinggi dijalankan dengan lebih cekap berbanding generasi sebelumnya.
CPU 10-teras, kelajuan sehingga 3.8GHz

Pemproses Exynos 2600 hadir dengan CPU 10-teras (deca-core) berasaskan seni bina Arm v9.3. Ia menampilkan gabungan teras baharu Arm C1-Ultra dan C1-Pro, dengan struktur yang berbeza berbanding generasi terdahulu. Konfigurasi CPU ini terdiri daripada 1 teras Arm C1-Ultra untuk prestasi puncak, 3 teras berprestasi tinggi untuk tugasan multi-teras, serta 6 teras cekap tenaga, dengan kelajuan maksimum sehingga 3.8GHz.
Menurut Samsung, prestasi CPU meningkat sehingga 39%, dengan kecekapan tenaga turut dipertingkat. CPU ini juga menyokong Scalable Matrix Extension 2 (SME2), yang membantu meningkatkan prestasi pembelajaran mesin serta mengurangkan latensi semasa menjalankan AI secara terus pada peranti.
Bagi keupayaan AI, Exynos 2600 menampilkan NPU yang dipertingkat secara menyeluruh, dengan prestasi AI generatif meningkat sehingga 113% berbanding generasi sebelumnya. NPU ini direka untuk menyokong model AI atas peranti yang lebih besar dan kompleks, sambil mengurangkan penggunaan kuasa dan latensi. Ini membolehkan pelbagai ciri AI dijalankan dengan lebih pantas dan responsif, termasuk, penyuntingan imej pintar dan pembantu AI atas peranti.
GPU Xclipse 960 bawa lonjakan besar untuk gaming

Dari segi grafik pula, Exynos 2600 dilengkapi GPU Exynos Xclipse 960 dengan seni bina baharu, yang menawarkan prestasi pengkomputeran sehingga dua kali ganda berbanding generasi terdahulu.
Prestasi ray tracing turut dipertingkat sehingga 50%, yang membolehkan kesan pencahayaan dan bayang-bayang kelihatan lebih realistik. Selain itu, cip ini menyokong Exynos Neural Super Sampling (ENSS™), iaitu teknologi berasaskan AI yang merangkumi upscaling resolusi pintar dan penjanaan bingkai (frame generation) untuk pengalaman gaming yang lebih lancar.
Sokongan kamera sehingga 320MP dengan pemprosesan AI

Untuk pengimejan, Exynos 2600 menyokong kamera sehingga 320MP dan menawarkan pemprosesan imej berasaskan AI yang lebih maju. Antara ciri utama yang diketengahkan termasuk AI Visual Perception System (VPS), yang mampu mengenal pasti perincian halus, termasuk kelipan mata secara masa nyata. Samsung turut menyatakan penggunaan kuasa kamera dapat dikurangkan sehingga 50%.
Cip ini juga menyokong DVNR (Deep-learning Video Noise Reduction) untuk meningkatkan kualiti video dalam keadaan cahaya rendah, Dynamic Range Compression (DRC) bagi kontras yang lebih seimbang, serta codec video baharu APV yang direka untuk meningkatkan perincian dan ketepatan warna dalam rakaman video.
Pengurusan haba lebih cekap dengan Heat Path Block

Satu lagi ciri baharu pada Exynos 2600 ialah pengenalan Heat Path Block (HPB), yang menurut Samsung merupakan yang pertama dalam industri SoC mudah alih. Digabungkan dengan penggunaan bahan High-k EMC, sistem ini direka untuk mengoptimumkan laluan pemindahan haba dari dalam cip ke bahagian luar.
Hasilnya, rintangan haba dikurangkan sehingga 16%, sekali gus membantu mengekalkan suhu operasi yang lebih stabil, khususnya ketika menjalankan tugasan berat seperti gaming dan pemprosesan AI berterusan.
Buat masa ini, Samsung masih belum mengesahkan peranti yang bakal menggunakan Exynos 2600. Namun, cip ini dijangka akan digunakan pada telefon flagship Samsung generasi seterusnya, berkemungkinan dalam siri Galaxy S26 yang dijangka diperkenalkan pada awal tahun 2026.
[Sumber: Samsung]






