Kementerian Komunikasi kini sedang menilai semula ambang jumlah pengguna yang digunakan bagi mewajibkan pelesenan platform media sosial di Malaysia. Ini susulan kebimbangan yang semakin meningkat berkaitan kandungan dijana kecerdasan buatan (AI) serta isu akauntabiliti platform.
Sejak 1 Januari 2026, platform pemesejan internet dan media sosial yang mempunyai sekurang-kurangnya 8 juta pengguna di Malaysia telah dianggap sebagai automatik berlesen sebagai Penyedia Perkhidmatan Aplikasi atau Application Service Providers (ASP(C)) di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Ini bermaksud platform media sosial besar kini tertakluk kepada kawal selia yang sama seperti pengendali berlesen, tanpa mengira sama ada mereka pernah memohon lesen secara rasmi atau tidak. Keperluan pelesenan ini sebenarnya telah diwajibkan sejak 2025.
Peruntukan Anggapan (Deeming Provision) ini diperkenalkan selepas hanya tiga platform, TikTok, WeChat dan Telegram, mendapatkan lesen yang diperlukan untuk beroperasi di Malaysia.
Lebih banyak platform bakal dikawal selia jika had pengguna diturunkan?
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata kerajaan kini sedang menilai semula sama ada had 8 juta pengguna masih sesuai, susulan beberapa insiden melibatkan kandungan berbahaya dan lucah yang dijana oleh AI Grok.

Malaysia baru-baru ini turut mengenakan sekatan terhadap chatbot AI milik platform X selepas didapati gagal mengambil langkah mencukupi bagi melindungi pengguna daripada kemudaratan dalam talian.
Menurut Fahmi, pihak kementerian sedang dalam proses menyemak semula dasar dan peraturan sedia ada berkaitan media sosial, memandangkan platform seperti TikTok dan Facebook kini semakin popular. Namun, isu utama ketika ini tertumpu kepada penggunaan AI Grok yang didakwa menjana kandungan berbahaya serta berunsur seksual, yang mendorong kerajaan untuk menilai semula had pengguna yang ditetapkan sebelum ini.
Beliau berkata, perkara itu akan diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengkaji had yang sesuai serta menentukan tindakan lanjut yang perlu diambil. Awal minggu ini, MCMC mengeluarkan kenyataan bahawa ia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap X Corp. (dahulunya Twitter) dan xAI LLC berhubung dakwaan kegagalan memastikan keselamatan pengguna di Malaysia berkaitan penggunaan Grok.
Seperti yang diumumkan sebelum ini oleh MCMC, Peruntukan Deeming terpakai kepada WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube. Namun, ia dilihat tidak terpakai kepada X (dahulunya Twitter), memandangkan platform itu mendakwa mempunyai kurang daripada 8 juta pengguna di Malaysia.
Pengesahan umur berasaskan eKYC bagi penggunaan media sosial masih diteliti
Fahmi turut menegaskan hasrat kerajaan untuk melaksanakan pengesahan umur pengguna platform media sosial melalui tiga dokumen rasmi, iaitu MyKad, pasport dan MyDigital ID.
Menurut beliau, mekanisme eKYC (electronic Know Your Customer) masih dalam peringkat kajian, dan kerajaan telah melihat beberapa negara lain berjaya melaksanakan had umur bagi penggunaan media sosial. Bagaimanapun, mekanisme yang bakal diperkenalkan di Malaysia akan berbeza, memandangkan negara ini mempunyai keunikan melalui penggunaan kad pengenalan MyKad.






