Proton telah melancarkan secara rasmi Proton X90 2026, atau lebih dikenali sebagai X90 MC1. Model ini merupakan SUV segmen-D terbaru Proton yang kini beralih kepada enjin i-GT 4-silinder baharu, menggantikan enjin GEP3 3-silinder yang digunakan sebelum ini.
Berbeza dengan model asal X90 yang dilancarkan sebagai model flagship, versi kemas kini ini dilihat lebih memfokuskan kepada harga yang lebih mampu milik. Perubahan ini dapat dilihat bukan sahaja pada harga jualannya, malah pada beberapa ciri yang ada atau digugurkan berbanding model sebelum ini.
Harga Proton X90 2026 di Malaysia

Untuk model kemas kini ini, Proton kini hanya menawrkan tiga varian sahaja untuk X90 berbanding empat sebelum ini. Berikut adalah harga jualan atas jalan tanpa insurans:
- Proton X90 1.5TD Lite – RM99,800
- Proton X90 1.5TD Prime – RM109,800
- Proton X90 1.5TD Prime X – RM115,800
Kesemua harga di atas sudah termasuk rebat pelancaran RM7,000. X90 2026 tersedia dalam lima pilihan warna — Marine Blue, Armour Silver, Snow White, Jet Grey, dan warna baharu Quartz Black.

Setiap unit X90 turut disertakan dengan waranti lima tahun tanpa had perbatuan, bersama servis percuma buruh selama 5 tahun. Model ini juga layak untuk National Matching Grant Programme, di mana pengguna boleh mendapat rebat sehingga RM4,000 apabila menukar kenderaan lama yang tidak lagi layak digunakan atas jalan.
Selain itu, 2,000 pelanggan pertama yang mendaftarkan kenderaan mereka sebelum 30 Jun 2026 turut layak menerima overtrade support sehingga RM3,000, serta akses kepada program Proton Insurance Program yang dipertingkatkan.
Perbezaan antara Proton X90 asal dan X90 MC1 2026

Perubahan paling besar pada Proton X90 2026 adalah pada bahagian enjin. Model ini kini menggunakan enjin 1.5L i-GT turbo empat silinder, menggantikan enjin tiga silinder dengan sistem mild hybrid yang digunakan sebelum ini. Enjin baharu ini menghasilkan 178hp (133kW) dan 290Nm tork, dipadankan dengan transmisi dwi klac 7-kelajuan (DCT). Proton turut menyatakan penggunaan bahan api sekitar 6.9L bagi setiap 100km.

Sebagai perbandingan, model X90 sebelum ini menggunakan enjin 3-silinder dengan sistem 48V Belt Starter Generator (BSG) yang menghasilkan 188hp dan 307Nm tork. Ini bermakna model 2026 kini menjadi SUV petrol sepenuhnya (ICE) tanpa sistem mild hybrid.

Di bahagian kabin, Proton X90 masih mengekalkan skrin infotainment 12.3″, tetapi kini menyokong Apple CarPlay dan Android Auto secara tanpa wayar sebagai ciri standard.

Namun begitu, beberapa fungsi yang terdapat pada model terdahulu tidak lagi disertakan. Antaranya termasuk sambungan selular dalam kereta serta ciri arahan suara “Hi Proton”.
Beberapa perubahan turut dibuat pada bahagian roda dan tayar. Semua varian Proton X90 2026 kini menggunakan rim 18 inci, berbanding model terdahulu yang menawarkan rim 19 inci pada varian lebih tinggi. Selain itu, tayar kini menggunakan GitiControl P10 daripada Giti, menggantikan tayar Goodyear EfficientGrip atau Continental EcoContact 6 yang digunakan sebelum ini.

Dari segi keselamatan, Proton turut menggugurkan ciri Advanced Driver Assistance System (ADAS) pada model ini. Walau bagaimanapun, beberapa ciri keselamatan asas masih disediakan seperti:
- 6 beg udara
- Kamera 360 darjah HD
- 180° Transparent View
- Tyre Pressure Monitoring System (TPMS)
- Digital Video Recorder (DVR) pada varian tertentu
Selain itu, power tailgate juga tidak lagi disertakan pada model ini.
Sebagai tambahan, Proton kini menyertakan roof rails baharu yang boleh menyokong beban sehingga 75kg, memberikan lebih fleksibiliti kepada pengguna yang ingin membawa barangan tambahan di bahagian bumbung.
Galeri imej Proton X90 MC1 2026




















