Dalam majlis pelancaran Nothing Phone (4a), Nothing turut melancarkan fon kepala terbaharu mereka, iaitu Headphone (a). Ia merupakan tambahan terbaru dalam barisan audio Nothing, dan menjadi model lebih mampu milik berbanding Headphone (1) yang dilancar pada Julai tahun lalu.
Nothing juga mendakwa fon kepala ini mampu bertahan sehingga 5 hari penggunaan dengan sekali cas, menjadikannya antara yang paling tahan lama dalam kelasnya.
Harga dan ketersediaan Headphone (a) di Malaysia

Di Malaysia, Headphone (a) ditawarkan pada harga rasmi RM699. Bagi yang berminat, ia boleh dipratempah bermula 2 April hingga 9 April 2026, dengan diskaun RM70 sepanjang tempoh tersebut. Jualan rasmi pula akan bermula pada 10 April 2026.
Selain itu, pengguna juga boleh mendapatkan fon kepala ini lebih awal pada 4 April 2026 di dua lokasi terpilih:
- CROSSOVER Sunway Pyramid
- Nothing Image Store Plaza Lowyat
Headphone (a) turut boleh dibeli secara dalam talian melalui nothing.tech, Lazada, Shopee dan TikTok Shop, serta di pengedar sah seperti TMT, Urban Republic, DirectD dan The Hello Station. Ia juga tersedia melalui telco U Mobile.
Spesifikasi Nothing Headphone (a)

Headphone (a) masih meneruskan rekaan seakan fon kepala Headphone (1), tetapi tampil dengan pendekatan lebih minimalis pada bahagian cup luar dan hadir dengan pilihan warna yang lebih pelbagai seperti putih, hitam, merah jambu dan kuning (edisi terhad). Binaannya juga kini lebih ringan pada 310g berbanding 329g sebelum ini, dan dilengkapi kusyen lembut dengan pengudaraan yang baik.

Fon kepala ini juga dilengkapi penarafan IP52, yang bermaksud ia tahan terhadap habuk dan percikan air. Jadi, ia masih boleh digunakan ketika bersenam atau dalam cuaca hujan ringan tanpa risau.


Kedudukan butang kawalan fizikal juga masih kekal sama seperti Headphone (1) menampilkan butang Roller, Paddle dan Button, yang membolehkan pengguna melaras kelantangan audio, kawal media dan tukar mod penyaring hingar aktif (ANC). Menariknya, butang Button juga menyokong fungsi tambahan seperti:
- Channel Hop untuk tukar antara aplikasi atau fungsi dengan cepat
- Camera Shutter yang membolehkan anda mengambil gambar atau video dari jauh menggunakan fon kepala
Dari segi audio, Headphone (a) menyokong Hi-Resolution Audio Wireless bersama codec LDAC. Ia menggunakan pemandu bersaiz 40mm dengan lapisan titanium untuk menghasilkan bunyi yang lebih jelas dan kurang distorsi.

Untuk pengalaman mendengar yang lebih fokus, ia turut dilengkapi ANC adaptif dengan tiga tahap tetapan, serta mod Transparency untuk membenarkan bunyi persekitaran masuk apabila diperlukan. Sistem ANC ini turut menggunakan teknologi AI untuk menyesuaikan tahap pembatalan bunyi secara automatik berdasarkan persekitaran dan cara pemakaian.
Salah satu kelebihan utama Headphone (a) adalah ketahanan baterinya. Nothing mendakwa ia mampu mencapai sehingga 135 jam penggunaan dengan ANC dimatikan, atau kira-kira 5 hari penggunaan berterusan. Jika bateri hampir habis, pengecasan pantas selama 5 minit sudah cukup untuk memberikan sehingga 5 jam masa mendengar.

Bagi panggilan pula, ia menggunakan sistem tiga mikrofon dengan bantuan AI yang dilatih menggunakan jutaan senario bunyi, bagi memastikan suara pengguna kekal jelas walaupun dalam persekitaran bising. Melalui aplikasi Nothing X, pengguna juga boleh menyesuaikan pengalaman audio dengan lebih lanjut menggunakan 8-band EQ. Selain itu, terdapat juga fungsi Bass Enhancement yang membantu menghasilkan bass lebih padu tanpa menjejaskan kejelasan bunyi lain.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Nothing Headphone (a).






