Honor sedang bersiap sedia untuk melancarkan telefon lipat generasi terbaharu Honor Magic V6, di Malaysia. Selepas mempamerkan kekukuhan telefon lipat tersebut baru-baru ini dengan demonstrasi ketahanan ekstrem seperti menarik kapal terbang dan kereta, Honor Malaysia kini telah membuka tempahan awal dengan pelbagai hadiah menarik menanti pembeli awal.
Telefon ini sebelum ini telah membuat debut globalnya di MWC 2026 pada Mac lalu.
Honor Magic V6 akan dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada 4 Jun. Orang ramai boleh menyaksikan majlis pelancaran tersebut secara langsung pada pukul 7 malam menerusi laman Facebook Honor Malaysia.
Promosi tempahan awal Magic V6

Sekiranya anda ingin menjadi pertama untuk mendapatkan telefon lipat Magic V6, ia boleh dipratempah dari sekarang sehingga 3 Jun, dengan meletakkan deposit RM300. Pembeli awal turut layak mendapat hadiah misteri bernilai sehingga RM3,797, ditambah dengan stylus Honor Magic Pen bernilai RM499 menjadikan jumlah hadiah keseluruhan yang diterima pengguna sehingga RM4,296.
Tempahan boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman web rasmi Honor, atau pengedar sah lain seperti Urban Republic, Senheng dan SenQ.
Harga rasmi belum diumumkan, tetapi berdasarkan maklumat tempahan awal, Magic V6 akan hadir dalam dua varian16GB + 512GB dan 16GB + 1TB. Ia ditawarkan dalam empat pilihan warna, iaitu merah, hitam, emas, dan putih, walaupun varian tertinggi tersedia hanya dalam dua warna merah dan hitam.
Spesifikasi dan ciri Honor Magic V6

Salah satu perkara yang dibanggakan Honor untuk Magic V6 adalah ketahahannya. Ia akan hadir dengan engsel Super Steel Hinge yang dipertingkat dengan kekuatan 2,800 MPa. Dari segi ketahanan lipatan, telefon lipat ini mampu bertahan sehingga 500,000 lipatan, dikatakan bersamaan dengan lebih 13 tahun lipatan harian. Badannya juga senipis 8.75mm apabila dalam keadaan dilipat.
Untuk paparan, Honor menggunakan teknologi Magic Diamond Screen yang lebih tahan lasak untuk Magic V6. Skrin luarnya dilindungi dengan kaca Anti-scratch NanoCrystal Shield Yang menggunakan salutan 5,600 lapisan silicon nitride. Menurut Honor, ia menawarkan ketahanan jatuh sehingga 10 kali lebih baik dan rintangan calar sehingga 15 kali lebih tinggi, selain mengurangkan silau.
Manakala, skrin dalaman pula menggunakan kaca Ultra-Tough Glass, dengn kesan lipatan yang hampir tidak kelihatan. Selain itu, telefon lipat ini juga diiktiraf kalis air dan debu IP68 dan IP69.


Berdasarkan pengumuman di MWC 2026 pada Mac lalu, Magic V6 akan hadir dengan skrin luar jenis LTPO AMOLED bersaiz 6.52″ dengan 2,420 × 1,080. Skrin dalam pula 7.95″ dengan 2,352 × 2,172. Kedua-dua panel turut menyokong kadar segar semula 120Hz, dan kecerahan puncak setinggi 6,000 nits.
Atas papan utama, ia cip pemproses Snapdragon 8 Elite Gen 5, dengan RAM 16GB dan storan dalaman seluas 1TB. Kapasiti yang dimuatkan adalah 6,660mAh, dan ia menyokong pengecasan pantas 80W dan 66W tanpa wayar.

Perkakasan kamera pula terdiri daripada tiga kamera belekang, termasuk kamera utama 50MP, kamera telefoto periskop 64MP dan kamera ultralebar 50MP. Terdapat juga dua kamera swafoto 20MP, masing-masing ditempatkan pada skrin luar dan skrin dalam.
Sejurus keluar kotak, ia akan menjalankan sistem operasi MagicOS 10 berasaskan Android 16. Ia juga akan terima kemas kini Android tujuh tahun.






