Laluan LRT3 Shah Alam yang lama dinantikan akhirnya telah memulakan operasinya secara rasmi hari ini. Bagi menggalakkan lebih ramai orang mencuba laluan baharu ini, Rapid KL menawarkan tambang percuma tanpa had bermula 29 Jun sehingga 31 Julai 2026.
Kempen perjalanan percuma ini merangkumi keseluruhan Laluan LRT3 Shah Alam serta perkhidmatan bas pengantara Rapid KL. Bukan itu sahaja, kemudahan parkir percuma turut disediakan di 6 fasiliti Park N’ Ride yang terpilih di sepanjang laluan LRT3 ini.
Jika anda merancang untuk mencuba laluan baharu ini buat kali pertama, ini adalah semua perkara yang perlu anda ketahui.
Masih perlu tap kad untuk masuk dan keluar

Walaupun tambang adalah percuma sepanjang tempoh promosi, penumpang masih diwajibkan untuk mengimbas kad (tap in dan tap out) di pintu pagar kaunter tiket.
Jika anda menggunakan kad Touch ‘n Go atau pas perjalanan Rapid KL (My50/Rapid Bulanan/Rapid Kota/Rapid Kembara/Rapid Keluarga/Rapid Mesra/Rapid Pelajar/Rapid Emas), kad tersebut mestilah aktif dan mempunyai baki minimum RM5 sebelum anda dibenarkan masuk ke stesen. Tiada sebarang potongan tambang akan dikenakan untuk perjalanan yang layak sepanjang kempen ini.
Sebagai alternatif, penumpang juga boleh mendapatkan tiket kod QR daripada Mesin Tiket Automatik (TVM) sebelum menaiki tren.
Tawaran perjalanan percuma ini turut merangkumi perkhidmatan bas pengantara (feeder bus) Rapid KL yang berkhidmat untuk Laluan Shah Alam, di mana anda juga perlu menggunakan kad Touch ‘n Go atau pas perjalanan Rapid KL. Perlu diingatkan bahawa perkhidmatan van Rapid KL On-Demand tidak termasuk dalam kempen percuma ini.
20 stesen beroperasi di LRT3

Laluan Shah Alam sepanjang 37.8km ini menghubungkan 20 buah stesen yang beroperasi antara Bandar Utama di Petaling Jaya sehinggalah ke Johan Setia di Klang.
Berikut adalah senarai stesen terlibat:
- Bandar Utama (Stesen pertukaran dengan MRT Laluan Kajang)
- Kayu Ara
- BU 11 (Bandar Utama 11)
- Damansara Idaman
- Subang
- Glenmarie 2 (Stesen pertukaran dengan LRT Laluan Kelana Jaya)
- Kerjaya
- Stadium Shah Alam
- Dato’ Menteri
- UiTM Shah Alam
- Seksyen 7 Shah Alam
- Bandar Baru Klang
- Pasar Klang
- Jalan Meru
- Jambatan Kota
- Taman Selatan
- Sri Andalas
- Klang Jaya
- Bandar Bukit Tinggi
- Johan Setia
Kekerapan tren LRT3

Pagi hari bekerja, tren beroperasi setiap 8 minit pada waktu puncak sebelah pagi (7:00 pagi – 9:30 pagi) dan petang (5:00 petang – 7:30 malam). Di luar waktu puncak, kekerapan tren adalah setiap 10 hingga 15 minit.
Pada hari Sabtu, tren beroperasi setiap 10 minit bermula jam 6:00 pagi sehingga 12:00 tengah malam. Manakala, pada hari Ahad & Cuti Umum, tren beroperasi setiap 10 minit bermula jam 6:00 pagi sehingga 11:30 malam.
Fasiliti ‘Park and Ride’ percuma sehingga 31 Julai

Bagi anda yang merancang untuk memandu dan meletakkan kenderaan di stesen, kemudahan Park and Ride tersedia di lokasi berikut:
- Kayu Ara — 350 petak parkir
- Damansara Idaman — 150 petak parkir
- Pasar Klang — 100 petak parkir
- Sri Andalas — 550 petak parkir
- Bandar Bukit Tinggi — 600 petak parkir
- Johan Setia — 550 petak parkir
Berdasarkan terma dan syarat, fasiliti Park N’ Ride di Bandar Utama dan Glenmarie 2 tidak termasuk dalam tawaran parkir percuma ini. Kadar bayaran parkir di kedua-dua stesen tersebut akan kekal dikenakan mengikut kadar sedia ada.
Bas pengantara percuma
Perkhidmatan bas pengantara Rapid KL juga adalah percuma sehingga 31 Julai 2026 bagi memudahkan orang ramai bergerak dari kawasan perumahan berhampiran ke stesen LRT3 tanpa sebarang kos. Suka diingatkan sekali lagi, kempen ini tidak termasuk perkhidmatan van Rapid KL On-Demand.
Jadi, jika anda sudah lama menunggu untuk merasai sendiri pengalaman menaiki Laluan Shah Alam, inilah peluang keemasan untuk mencubanya secara percuma. Cuma pastikan anda membawa kad Touch ‘n Go dengan baki minimum RM5 atau dapatkan tiket menggunakan kod QR di mesin sebelum memulakan perjalanan anda.






