Astro kini nampaknya sedang melakukan peralihan besar ke arah era penstriman penuh. Terbaru, mereka telah memperkenalkan Astro X3, sebuah pelan baharu yang mengutamakan penstriman digital membolehkan pelanggan mula menonton kandungan Astro tanpa memerlukan kotak dekoder atau sebarang pemasangan.
Perkhidmatan terbaharu ini terbuka kepada pelanggan baharu mahupun sedia ada. Menariknya, proses pendaftaran boleh dilakukan sepenuhnya menggunakan peranti mudah alih, dan anda boleh terus menstrim kandungan melalui aplikasi Astro di Smart TV yang serasi atau di mana-mana sahaja menggunakan aplikasi Astro GO.
Satu lagi kelebihan Astro X3 ialah ia menawarkan pilihan pelan tanpa kontrak. Walaupun perkhidmatan Astro X3 ini akan mula dilancarkan pada 20 Julai 2026, pilihan pelan tanpa kontrak ini hanya akan diperkenalkan bermula Disember 2026 nanti. Pelan tanpa kontrak ini memberikan kebebasan kepada pengguna untuk melanggan, menghentikan seketika (pause), atau membatalkan langganan mereka pada bila-bila masa sahaja.
Harga dan ketersediaan pelan Astro X3

Apabila dilancarkan secara rasmi pada 20 Julai 2026, Astro X3 akan menawarkan dua pilihan pelan dengan kontrak selama 12 bulan terlebih dahulu:
- Astro X3: Entertainment 12 Pack — RM39.99/sebulan
- Akses kepada lebih 65 saluran
- Astro GO
- Astro X3: Sports 12 Pack — RM89.99/sebulan
- Akses kepada lebih 80 saluran (termasuk semua saluran di bawah pelan Entertainment dan sukan langsung)
- Astro GO
- beIN SPORTS CONNECT
- Sun NXT Lite
Seterusnya, bermula Disember 2026, pilihan pelan tanpa kontrak pula akan diperkenalkan dengan struktur harga berikut:
- Astro X3: Entertainment Pack — RM59.99/sebulan
- Akses kepada lebih 65 saluran
- Astro GO
- Astro X3: Sports Pack — RM109.99/sebulan
- Akses kepada lebih 80 saluran (termasuk semua saluran pelan Entertainment dan sukan langsung)
- Astro GO
- beIN SPORTS CONNECT
- Sun NXT Lite
Sila ambil perhatian bahawa semua harga yang dinyatakan di atas belum termasuk cukai perkhidmatan (SST).
Secara ringkasnya, jika anda memilih pelan tanpa kontrak, anda perlu membayar RM20 lebih mahal sebulan. Malah, anda juga tidak akan mendapat beberapa kandungan tambahan serta pilihan platform penstriman (OTT) yang hanya dikhaskan untuk pelanggan pelan kontrak.akej Astro X3 di Malaysia
Apa yang ditawarkan oleh Astro X3?

Berbeza dengan perkhidmatan TV satelit tradisional Astro, Astro X3 direka sepenuhnya sebagai perkhidmatan penstriman dalam talian. Pengguna hanya perlu mendaftar menggunakan telefon pintar dan menstrim terus ke Smart TV masing-masing tanpa memerlukan bantuan juruteknik atau kotak dekoder di rumah. Fungsi Astro GO turut disertakan supaya anda boleh menyambung tontonan di mana-mana sahaja.
Antara kandungan yang boleh ditonton termasuklah kandungan eksklusif Astro Originals, program Signature Live, dan acara sukan antarabangsa secara langsung seperti Premier League, AFC, UEFA Champions League, Formula 1, MotoGP, Wimbledon, serta kejohanan badminton antarabangsa.
Sekiranya anda mahukan lebih banyak kandungan, pelan kontrak 12 bulan membolehkan anda menambah pakej add-on seperti Kids, Blockbuster, dan Sports Extra. Antara aplikasi penstriman (OTT) yang disokong di bawah pelan kontrak termasuklah Disney+, Prime Video, HBO Max, Viu, iQIYI, TVBAnywhere+, Sun NXT, WeTV, SimplySouth, ZEE5, dan Qalbox oleh Muslim Pro.
Agak menarik, Netflix tidak disenaraikan sebagai aplikasi OTT yang disokong untuk Astro X3, walaupun ia ditawarkan pada pelan Astro One.
Apa bezanya Astro X3 dengan Astro One?

Selain tidak memerlukan kotak dekoder fizikal, kelebihan utama Astro X3 ialah ia mengurangkan tempoh komitmen kontrak minimum. Pelan kontrak Astro X3 hanya memerlukan komitmen selama 12 bulan, berbanding 24 bulan untuk Astro One. Sebaik sahaja pelan tanpa kontrak diperkenalkan pada bulan Disember nanti, anda boleh melanggan tanpa sebarang komitmen jangka panjang langsung.
Bagaimanapun, ada beberapa perkara yang perlu dikorbankan. Astro X3 menawarkan sekitar 80+ saluran sahaja berbanding 86+ saluran pada Astro One, tiada saluran radio disertakan, serta pilihan kandungan add on adalah lebih sedikit. Sebagai contoh, saluran Cartoon Network (CH 615) tidak tersedia dalam pakej tambahan Kids Pack di bawah pelan Astro X3: Entertainment 12 Pack.

Bagi mereka yang mengambil pelan tanpa kontrak pula, tiada sebarang kandungan add-on disediakan. Malah, tiada pilihan untuk menambah langganan Astro Go+ (fungsi untuk menstrim secara serentak sehingga 4 pengguna/peranti).
Namun dari segi kualiti paparan, kedua-dua pengguna pelan kontrak dan tanpa kontrak untuk Astro X3 masih boleh menikmati penstriman sehingga resolusi 4K UHD, sama seperti Astro One.
Untuk maklumat lanjut atau berminat untuk mendaftar, anda boleh melayari laman web rasmi Astro.






