Amazfit Malaysia hari ini melancarkan dua jam pintar kecergasan terbaharu dalam siri Balance, iaitu Balance 3 dan Balance Ultra. Kedua-dua model ini adalah sebahagian daripada ekosistem Hybrid Training baharu Amazfit, yang direka untuk bantu pengguna urus latihan, pemulihan dan kesihatan harian dengan lebih bijak melalui gabungan data kecergasan dan analisis pintar.
Selain itu, pelancaran ini turut menandakan komitmen Amazfit untuk terus memperkukuh komuniti HYROX di Malaysia. Sebagai rakan jam tangan rasmi untuk HYROX, siri Balance hadir dengan pelbagai ciri khusus untuk sukan itu termasuk pelan latihan, simulasi perlumbaan dan analisis prestasi terperinci selepas perlumbaan.
Harga dan ketersediaan Balance 3 dan Balance Ultra

Di Malaysia, Amazfit Balance 3 ditawarkan dalam dua pilihan, iaitu Stainless Steel dan Titanium, manakala Balance Ultra hanya hadir dalam satu varian. Buat masa ini, Balance 3 Stainless Steel dan Balance Ultra sudah mula dijual di Malaysia, manakala Balance 3 Titanium akan diperkenalkan dalam masa terdekat.
Berikut ialah harga rasmi untuk ketiga-tiga model:
- Amazfit Balance 3 Stainless Steel – RM1,599 (harga pelancaran RM1,499)
- Amazfit Balance 3 Titanium – RM1,999 (akan datang)
- Amazfit Balance Ultra – RM2,599 (harga pelancaran RM2,349)
Kesemua model boleh didapati menerusi kedai rasmi Amazfit Malaysia serta rakan pengedar terpilih.
Spesifikasi Amazfit Balance 3 dan Balance Ultra

Amazfit Balance 3 dan Balance Ultra dibangunkan untuk pengguna yang mengamalkan latihan hibrid, sama ada di gimnasium, ketika berlari mahupun semasa proses pemulihan. Kedua-dua jam tangan kecergasan ini turut diintegrasikan dengan aplikasi Zepp bagi membantu pengguna memahami bagaimana latihan, tidur, tekanan, pemulihan dan aktiviti harian saling mempengaruhi prestasi keseluruhan.



Model Balance Ultra merupakan varian paling premium dalam siri ini. Ia dibina menggunakan kerangka titanium Gred 5 dan direka untuk kegunaan lasak dengan berat hanya 57 gram . Ia dipadankan dengan dua pilihan tali iaitu kulit sintetik atau silikon bersaiz 22mm.
Sementara itu, Balance 3 disasarkan kepada pengguna yang mahukan jam tangan pintar serba boleh untuk bersenam dan kegunaan harian. Bergantung pada varian, beratnya sekitar 62 gram dan ia ditawarkan dengan pilihan kemasan keluli tahan karat atau titanium bersama tali silikon 22mm.

Kedua-dua model ini dilengkapi dengan skrin AMOLED paparan bulat bersaiz 1.5″ yang dilindungi oleh kaca nilam (sapphire glass). Skrin ini menawarkan resolusi 480×480 piksel serta sokongan kecerahan puncak sehingga 3,000 nits untuk kejelasan paparan luar talian yang sangat baik. Selain itu, kedua-dua peranti ini turut mempunyai penarafan kalis air 10ATM.
Untuk penjejakan aktiviti luar, kedua-duanya menyokong GPS dwijalur dengan enam sistem satelit serta peta luar talian. Jenis sensor yang boleh anda temukan pada kedua-dua jam termasuk BioTracker 6.0 PPG Bio akselerometer, giroskop, sensor geomagnetik, tekanan udara, termometermetric Sensor.




Bagi latihan kekuatan, jam ini boleh mengesan secara automatik sehingga 25 jenis senaman dan menyokong lebih 180 mod sukan. Ia juga dilengkapi pelbagai fungsi pemantauan kesihatan seperti kadar denyutan jantung, kadar variasi denyutan jantung (HRV), pemantauan tidur, tahap tekanan, oksigen dalam darah (SpO₂) dan kadar pernafasan.
Turut disediakan ialah panggilan Bluetooth, kawalan suara Zepp Flow, rakaman nota suara serta storan dalaman 64GB, sambungan WiFi 2.4GHz serta Bluetooth 5.2.. Terdapat juga lampu flashlight terbina yang menyokong cahaya putih dan merah untuk kegunaan dalam keadaan gelap.

Jika ada yang berbeza antara kedua-dua model ini, ia adalah dari segi hayat bateri. Balance 3 (bateri 668mAh) mampu bertahan sehingga 21 hari dalam satu pengecasan, manakala Balance Ultra (bateri 780mAh) menawarkan hayat bateri yang lebih panjang sehingga 30 hari
Ciri Hybrid Training dan sokongan HYROX

Tarikan utama siri Balance kali ini ialah ekosistem Hybrid Training yang diperkenalkan Amazfit. Antara ciri baharu yang disediakan ialah HybridCharge Energy Intelligence, yang menggabungkan data BioCharge, LifeLoad dan Training Load bagi memberikan gambaran keseluruhan tentang tahap tenaga dan kesediaan badan untuk menjalani latihan.
Selain itu, fungsi Weekly Focus dan Training Balance membantu pengguna menilai sama ada rutin latihan mereka seimbang antara latihan kekuatan, ketahanan dan pemulihan. Amazfit turut menyediakan Hybrid Training Plans yang menawarkan pelan latihan berstruktur untuk membantu pengguna meningkatkan prestasi secara berperingkat.
Sebagai rakan rasmi HYROX, Balance 3 dan Balance Ultra turut dilengkapi pelbagai ciri khas untuk sukan tersebut. Antaranya termasuk HYROX Virtual Pace, pelan latihan dan simulasi perlumbaan HYROX, serta analisis selepas perlumbaan yang memaparkan data seperti pace, prestasi di setiap stesen dan masa keseluruhan perlumbaan.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari lama produk Amazfit Balance 3 dan Balance Ultra.






