Apple kini memperkenalkan Apple Upgrade, iaitu program pajakan (leasing) baharu yang membolehkan pelanggan mendapatkan peranti Apple melalui bayaran bulanan. Program ini disediakan dengan kerjasama Klarna dan ditawarkan di Amerika Syarikat menerusi Apple Store Online, aplikasi Apple Store serta semua Apple Store fizikal.
Menurut Apple, Apple Upgrade menawarkan pilihan pembayaran yang lebih fleksibel kepada pelanggan yang ingin memiliki produk Apple tanpa perlu membuat bayaran penuh pada awal pembelian.
Program ini tersedia untuk peranti Apple terkini termasuk iPhone, Apple Watch, Mac dan iPad, dengan tempoh pajakan berbeza mengikut jenis peranti. Untuk iPhone dan Apple Watch, pelanggan boleh memilih tempoh pajakan selama 12 atau 24 bulan. Manakala bagi Mac dan iPad, pilihan tempohnya ialah 24 atau 36 bulan.
Berikut adalah senarai peranti yang tersedia menerusi Apple Upgrade berserta harga permulaan bulanannya:
iPhone

- iPhone 17e – dari USD17.99/bulan
- iPhone 17 -dari USD22.99/bulan
- iPhone Air – dari USD28.99/bulan
- iPhone 17 Pro dari USD31.99/bulan
- iPhone 17 Pro Max dari USD34.99/bulan
Apple Watch

- Apple Watch Series 11 – dari USD11.99/bulan
- Apple Watch Ultra 3 – dari USD24.99/bulan
Mac

- MacBook Air M5 – dari USD24.99/bulan
- MacBook Pro (M5, M5 Pro, M5 Max) – dari USD38.99/bulan
- iMac M4 – dari USD28.99/bulan
- Mac Studio (M4 Max / M3 Ultra) – dari USD48.99/bulan
iPad

- iPad Mini – dari USD11.99/bulan
- iPad Air M4 – dari USD15.99/bulan
- iPad Pro M5 – dari USD24.99/bulan
Melalui Apple Upgrade ini, pengguna tidak akan membayar lebih daripada harga jualan asal peranti, walaupun mengira keseluruhan tempoh pembayaran bulanan.
Sebagai contoh, jika anda memilih iPhone 17 Pro Max dengan bayaran USD34.99 sebulan untuk tempoh 24 bulan, jumlah keseluruhan yang perlu dibayar ialah USD839.76. Jumlah ini masih lebih rendah berbanding harga jualan asal iPhone 17 Pro Max iaitu USD1,199.
Namun, perlu diingatkan bahawa ini bukan bermakna anda “untung” membeli lebih murah. Selepas tempoh pajakan berakhir, peranti tersebut masih bukan milik anda sepenuhnya, melainkan anda memilih untuk membuat pembayaran tambahan bagi memilikinya.
Apple turut menyatakan bahawa bayaran bulanan boleh dikurangkan lagi dengan menukar peranti lama menerusi program Apple Trade In semasa mendaftar. Selain itu, pengguna Apple Card turut layak menerima pulangan 3% Daily Cash bagi setiap bayaran pajakan yang dibuat Menurut pada laman FAQ, pelanggan juga dibenarkan membuat pajakan lebih daripada satu peranti pada satu masa, namun setiap permohonan perlu dibuat secara berasingan.
Boleh naik taraf, beli atau pulangkan peranti selepas tamat pajakan

Permohonan boleh dibuat sama ada secara dalam talian atau di Apple Store, dengan proses kelulusan dikendalikan oleh Klarna. Menurut Apple, keseluruhan proses permohonan hanya mengambil masa beberapa minit sahaja, dan menggunakan kaedah semakan kredit asas (soft credit inquiry) yang tidak akan menjejaskan skor kredit pemohon.
Selepas permohonan diluluskan, pelanggan boleh mengambil peranti terus di Apple Store atau memilih penghantaran ke rumah.
Apabila tempoh pajakan tamat, pelanggan diberikan tiga pilihan:
- Menaik taraf kepada model Apple yang lebih baharu
- Memulangkan peranti dan keluar daripada program
- Memiliki peranti tersebut secara kekal dengan menjelaskan baki bayaran melalui satu pembayaran sekali gus

Menurut Apple, pengguna akan dimaklumkan apabila mereka layak untuk menaik taraf kepada model baharu tanpa sebarang bayaran. Kalau ingin menaik taraf lebih awal sebelum tempoh pajakan berakhir, mereka masih boleh berbuat demikian, tapi dengan bayaran tambahan.
Sepanjang tempoh pajakan, semua maklumat seperti jadual pembayaran dan baki bayaran boleh diuruskan menerusi aplikasi Klarna. Pelanggan juga boleh menambah langganan AppleCare untuk melindungi peranti mereka sepanjang tempoh penggunaan.
Gantikan iPhone Upgrade Program
Seiring dengan pelancaran Apple Upgrade, Apple mengesahkan bahawa mereka tidak lagi menawarkan iPhone Upgrade Program di Amerika Syarikat.
Bagi pelanggan sedia ada yang masih menyertai iPhone Upgrade Program, mereka boleh memilih untuk beralih kepada Apple Upgrade apabila layak untuk mendapatkan peranti baharu. Sebagai alternatif, mereka juga masih boleh menggunakan Apple Card Monthly Installments, membeli peranti secara terus atau memilih pelan pembiayaan yang ditawarkan syarikat telekomunikasi.
Bagi yang tertanya-tanya apa beza antara kedua-dua program ini, iPhone Upgrade Program sebenarnya merupakan pelan ansuran yang akhirnya membolehkan pengguna memiliki peranti tersebut sepenuhnya. Apple Upgrade pula adalah program pajakan; bermaksud pengguna tidak akan memiliki produk tersebut selepas tamat tempoh pajakan, melainkan mereka memilih untuk membuat pembayaran penuh bagi memilikinya.
Buat masa ini, Apple Upgrade hanya diumumkan untuk pasaran Amerika Syarikat dan Apple masih belum berkongsi sama ada program tersebut akan diperluaskan ke negara lain.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman rasmi Apple Upgrade.






