Google kini rasmi melancarkan barisan telefon flagship terbaru, Pixel 11, Pixel 11 Pro dan Pixel 11 Pro XL. Untuk iterasi kali ini, Google membawakan beberapa naik taraf termasuk cip Tensor G6, sistem kamera yang dipertingkatkan serta lebih banyak ciri berasaskan Gemini.
Google turut menaikkan storan asas kepada 256GB merentasi semua model, manakala model Pro kini ditawarkan dengan storan sehingga 1TB. Selain itu, Pixel 11 Pro dan Pixel 11 Pro XL turut hadir dengan lampu LED baharu yang dipanggil HiLight di bahagian belakang.
Kesemua telefon ini sudah dibuka untuk tempahan awal di Malaysia dan akan mula dijual secara rasmi pada 20 Ogos 2026.
Google Pixel 11

Bermula dengan model paling asas dalam siri, Pixel 11, ia mengekalkan sebahagian besar spesifikasi generasi sebelumnya. Pixel 11 dilengkapi skrin OLED 6.3″ dengan resolusi 1080 x 2424 piksel dan kadar segar semula adaptif 60-120Hz. Skrinnya dilindungi kaca Corning Gorilla Glass Victus 2 dan boleh mencapai kecerahan sehingga 2,000 nits untuk kandungan HDR serta 3,000 nits pada tahap puncak.
Dari segi prestasi, Pixel 11 dikuasakan cip Google Tensor G6 terbaharu, bersama cip keselamatan Titan M3. Ia turut dipadankan dengan RAM 12GB serta pilihan storan 256GB atau 512GB. Google mendakwa Tensor G6 memberikan peningkatan sehingga 20% dari segi kecekapan tenaga, 25% lebih pantas untuk pelayaran web dan 15% lebih pantas membuka aplikasi berbanding Tensor G5.
Untuk kamera, Pixel 11 masih menggunakan tetapan tiga kamera yang terdiri daripada kamera utama 48MP f/1.7, kamera ultralebar 13MP f/2.2 dan kamera telefoto 10.8MP f/3.1. Kamera telefoto ini menyokong 5x zum optikal dan sehingga 30x Super Zoom, selain dilengkapi penstabilan imej optikal (OIS). Walaupun konfigurasi kamera kelihatan hampir sama, kamera utama 48MP kini menggunakan sensor lebih besar bersaiz 1/1.56″. Google mendakwa sensor baharu ini menawarkan 56% sensitiviti cahaya lebih baik.

Untuk swafoto dan panggilan video, terdapat kamera hadapan 10.5MP ultralebar dengan autofokus.
Google turut memperkenalkan beberapa ciri kamera baharu seperti Magic Capture, Camera Looks dan Camera Coach. Magic Capture membolehkan pengguna merakam video dan foto berkualiti tinggi dengan satu sentuhan, manakala Camera Looks membolehkan pengguna menghasilkan gaya fotografi sendiri.
Kapasiti bateri yang dimuatkan kini sedikit lebih besar, 4,985mAh berbanding 4,700mAh, dan didakwa mampu menawarkan masa penggunaan sehingga 30 jam. Ia boleh dicas sehingga 55% dalam kira-kira 30 minit menggunakan pengecas USB-C PPS 30W atau lebih tinggi. Pengecasan tanpa wayar juga disokong melalui sistem magnet Pixelsnap, dengan sokongan Qi2.2 lebih pantas sehingga 25W.
Pixel 11 ditawarkan dalam empat warna iaitu Frost, Pistachio, Hibiscus dan Obsidian.
Pixel 11 Pro & Pixel 11 Pro XL

Beralih kepada model Pro, Pixel 11 Pro dan Pixel 11 Pro XL berkongsi kebanyakan perkakasan yang sama, dengan perbezaan utama pada saiz skrin, kapasiti bateri dan kelajuan pengecasan berwayar. Perkakasannya tidak banyak berubah berbanding generasi lama Pixel 10 Pro dan Pixel 10 Pro XL.
Kedua-duanya dikuasakan cip Tensor G6 bersama cip keselamatan Titan M3. Bagi storan, model 256GB hadir dengan 12GB RAM, manakala pilihan storan 512GB dan 1TB menerima 16GB RAM. Kedua-duanya dikuasakan cip Tensor G6 bersama cip keselamatan Titan M3. Bagi storan, model 256GB hadir dengan 12GB RAM, manakala pilihan storan 512GB dan 1TB menerima 16GB RAM.
Dari segi skrin, Pixel 11 Pro mempunyai skrin Super Actua LTPO OLED 6.3″ dengan resolusi 1280 x 2856 piksel, manakala Pixel 11 Pro XL menggunakan skrin lebih besar 6.8″ dengan resolusi 1344 x 2992 piksel. Kedua-duanya turut menyokong kadar segar semula adaptif 1Hz-120Hz, selain kecerahan sehingga 2,400 nits untuk HDR dan 3,600 nits pada tahap puncak.
Sistem kamera masih sama dan tidak berubah berbanding generasi sebelumnya. Kedua-dua Pixel 11 dan Pixel 11 Pro menggunakan tetapan tiga kamera, terdiri daripada kamera utama 50MP f/1.68 yang menggunakan sensor 1/1.3″ serta kamera telefoto 48MP f/2.8. Kamera ketiga adalah kamera telefoto 48MP f/2.8 yang menggunakan sensor 1/1.95″, dengan sokongan OIS, zum optikal 5x serta zum digital sehingga 120x.

Untuk kamera hadapan pula, kedua-duanya menggunakan sensor 42MP ultralebar dengan autofokus.
Dari segi rakaman video, Pixel 11 Pro dan Pro XL menyokong rakaman sehingga 8K pada 24fps atau 30fps dengan Video Boost. Ia turut dilengkapi Pro Stable Video, Night Sight Video dan Creator Suite yang mempunyai ciri seperti teleprompter, Storyboard dan Speech Enhancement yang dipertingkatkan.
Salah satu ciri baharu pada model Pro ialah HiLight, iaitu susunan lampu LED berbilang warna yang terletak di sekeliling lampu denyar kamera. Ia berfungsi sebagai lampu notifikasi dinamik. Apabila telefon diletakkan menghadap ke bawah, HiLight boleh menyala dengan warna yang boleh disesuaikan apabila panggilan masuk daripada Favourite Contact. Ciri ini berfungsi dengan aplikasi Phone by Google dan WhatsApp.
HiLight turut boleh digunakan bersama Gemini. Lampu tersebut akan memberikan isyarat visual ketika Gemini sedang mendengar, memproses arahan atau memberikan respons.

Untuk tenaga, Pixel 11 Pro menggunakan bateri 4,850mAh, dan menariknya ini sedikit lebih kecil daripada Pixel 11 4,985mAh dan juga generasi sebelum ni pada 4,870mAh. Pixel 11 Pro XL pula mendapat bateri 5,115mAh, juga sedikit lebih kecil dari generasi sebelumnya pada 5,200mAh. Kedua-dua turut menyokong pengecasan pantas, dengan model Pixel 11 Pro boleh dics ke 55% dalam masa 30 minit, manakala Pro XL boleh cecah ke 75% dalam masa 30 minit menggunakan kepala pengecas 45W.
Kedua-dua model turut menyokong pengecasan tanpa wayar magnetik Pixelsnap berasaskan Qi2.2 sehingga 25W.
Untuk pilihan warna, Pixel 11 Pro dan Pixel 11 Pro XL ditawarkan dalam Canyon, Olive, Fog dan Obsidian.
Ciri pintar Gemini baharu pada siri Pixel 11
Selain peningkatan perkakasan, Google turut memperkenalkan lebih banyak ciri Gemini Intelligence baharu pada siri Pixel 11. Dengan bantuan Tensor G6 dan model Gemini pada peranti, ciri ini direka untuk memahami konteks perkara yang sedang dilakukan pengguna merentasi aplikasi dan memberikan maklumat yang berkaitan tanpa perlu bertukar aplikasi.

Sebagai contoh, kalau seseorang itu menghantar mesej bertanyakan sama ada anda lapang untuk makan malam, Gemini boleh mencadangkan semakan jadual Calendar terus daripada perbualan. Jika seseorang pula menghantar cadangan restoran, Gemini boleh memaparkan pratonton Google Maps bersama gambar makanan, ulasan dan pilihan navigasi tanpa perlu anda keluar daripada perbualan tersebut.
Google turut memperkenalkan Rambler pada Gemini. Dengannya, pengguna boleh bercakap secara semula jadi dan Rambler akan membuang perkataan pengisi seperti “um” atau “ahh” daripada transkripsi. Pengguna kemudian boleh memberikan arahan susulan untuk memperkemas atau menyusun semula teks tersebut sebelum menghantarnya.
Sementara itu, Live Translate pada Pixel 11 kini turut boleh menterjemah video, podcast dan mesej suara yang disokong ketika pengguna menonton atau mendengarnya.

Ciri Circle to Search juga mendapat peningkatan dan kini boleh diakses terus melalui kamera Pixel. Ia membolehkan pengguna mengenal pasti objek, menterjemah teks atau mencari maklumat mengenai sesuatu yang dilihat di sekeliling tanpa perlu mengambil gambar terlebih dahulu.
Harga siri Pixel 11 di Malaysia

Untuk pasaran Malaysia, berikut ialah harga rasmi siri Pixel 11:
- Pixel 11 – RM3,999 (256GB)
- Pixel 11 Pro – RM4,999 (256GB)
- Pixel 11 Pro XL – RM5,999 (256GB)
Tempahan awal telah dibuka mulai 12 Ogos 2026, manakala jualan rasmi akan bermula pada 20 Ogos 2026.
Siri Pixel 11 boleh didapati melalui CelcomDigi, Maxis, Urban Republic, Senheng Shopee, U Mobile dan Thundermatch
Sebagai tawaran tambahan, pembeli Pixel 11 Pro dan Pixel 11 Pro XL akan menerima 6 bulan langganan Google AI Pro secara percuma.




