Pelancaran siri iPhone 18 Pro pastinya membuatkan ramai pengguna Apple tidak sabar untuk menaik taraf peranti masing-masing. Namun, dengan harga pasaran yang semakin tinggi, membeli secara tunai mungkin bukan pilihan yang mesra poket untuk semua.
Namun dengan pelan ansuran syarikat telekomunikasi (telco) yang ditawarkan oleh Maxis, CelcomDigi, U Mobile, atau Yes, ia menjadi ‘penyelamat’ untuk pengguna yang mahukan peranti baharu dari iPhone ini.
Jom kita semak dan bandingkan telco mana yang paling ‘mesra dompet’, tawarkan kuota paling besar, dan berikan penjimatan maksimum untuk peranti idaman anda!
Untuk perbandingan harga bagi tawaran iPhone 18 Pro ini, anda boleh lihat dua jenis pelan iaitu kontrak 24 bulan dan kontrak 36 bulan bagi storan 256GB yang paling rendah dan langganan untuk storan 2TB yang paling besar di bawah.
Pelan kontrak 24 bulan – storan 256GB

Menerusi perbandingan ini, Maxis menawarkan kadar bulanan tertinggi pada harga RM333 melalui pelan Maxis Postpaid 139, diikuti CelcomDigi pada RM308 (Postpaid 5G 100) dan U Mobile pada RM276 (ULTRA Postpaid 68). Manakala Yes tampil dengan harga terendah iaitu RM273 sebulan menerusi pelan Infinite+ Basic.
Pelan kontrak 36 bulan – storan 256GB

Untuk perbandingan kontrak 36 bulan bagi storan 256GB yang ditawarkan oleh Maxis, CelcomDigi, Yes dan U Mobile bagi iPhone 18 pro juga menawarkan harga yang mesra poket dengan bajet sekitar bawah RM270.
Berdasarkan senarai harga ini, Maxis menawarkan kadar bulanan RM263 melalui pelan Maxis Postpaid 139, diikuti CelcomDigi pada harga RM238 (Postpaid 5G 100) dan U Mobile pada harga RM206 (ULTRA Postpaid 68). Manakala Yes tampil dengan tawaran terendah iaitu RM204 sebulan menerusi pelan Infinite+ Basic.
Pelan kontrak 24 bulan – storan 2TB
Bagi anda yang berhasrat mendapatkan iPhone 18 Pro dengan kapasiti storan 2TB, berikut adalah senarai pelan langganan dengan tawaran harga yang berpatutan.

Menerusi senarai ini, Maxis menawarkan pelan Maxis Postpaid 139 pada harga RM560 sebulan, manakala CelcomDigi menetapkan kadar RM535 sebulan menerusi pelan Postpaid 5G 100.
Bagi U Mobile, pelan ULTRA Postpaid 68 ditawarkan pada kadar RM503 sebulan, namun stok bagi pilihan storan 2TB belum tersedia di e-store mereka. Manakala penawaran daripada Yes menerusi pelan Infinite+ Standard pula dilaporkan kehabisan stok di e-store buat masa sekarang.
Pelan kontrak 36 bulan – storan 2TB

Untuk tempoh kontrak 36 bulan, Maxis menawarkan pelan Maxis Postpaid 139 pada harga RM415 sebulan, manakala CelcomDigi meletakkan kadar RM390 sebulan menerusi pelan Postpaid 5G 100.
Bagi U Mobile pula, pelan ULTRA Postpaid 68 ditawarkan pada harga RM358 sebulan, namun stok untuk pilihan storan 2TB belum tersedia di e-store mereka buat masa ini. Sementara itu, tawaran daripada Yes menerusi pelan Infinite+ Standard telah kehabisan stok di e-store.
Pelan yang dinyatakan ini boleh berubah dari semasa ke semasa, bergantung pada terma dan syarat pelan serta ketersediaan peranti iPhone 18 Pro di kedai telco pilihan anda.
Kelebihan pelan langganan
Membeli telefon pintar menerusi pelan langganan telco membolehkan anda memiliki peranti pilihan tanpa perlu mengeluarkan modal wang tunai yang besar secara serentak. Ini antara kelebihan memilih pelan langganan menerusi telco:
- Bayaran Ansuran Mampu Milik: Kos peranti dibahagikan kepada bayaran bulanan yang lebih rendah bagi tempoh 24 hingga 36 bulan, tanpa perlu mengikat had (credit limit) kad kredit.
- Subsidi Harga Peranti: Jumlah keseluruhan kos telefon selalunya lebih murah berbanding harga pasaran (RRP) kerana disubsidi menerusi komitmen kontrak.
- Kemudahan Pakej Serba Satu (All-in-One): Anda tidak perlu membayar bil berasingan kerana bayaran bulanan sudah merangkumi harga telefon, data internet tanpa had, panggilan, dan pelbagai kemudahan perayauan (roaming).
- Program Naik Taraf Mudah: Memudahkan anda menukar telefon kepada model terbaharu secara berkala (contohnya setiap 12 atau 24 bulan) dengan memulangkan peranti sedia ada.
- Perlindungan Peranti & Insurans: Kebanyakan telco turut menawarkan perlindungan kerosakan skrin, jaminan tambahan, atau penggantian telefon secara percuma atau pada kadar diskaun.
- Ganjaran & Akses Percuma: Pakej peranti kerap disertakan dengan tawaran premium percuma, seperti akses platform AI, langganan aplikasi penstriman, atau kuota roaming di luar negara.
Jika anda berhasrat memiliki iPhone 18 Pro baharu tanpa membebankan bajet bulanan, pelan langganan yang ditawarkan syarikat telco ini adalah pilihan yang paling ideal.
Dah fikir nak pilih pelan langganan yang mana satu?
Sumber : Maxis, CelcomDigi, Yes 5G, U Mobile






