Berita baik buat pengguna Ryt Bank. Ryt Bank kini mengumumkan ia menyokong Apple Pay, membolehkan pengguna menambah kad debit Ryt Bank Visa Debit Card (atau Ryt Card) ke iPhone dan Apple Watch untuk membuat pembayaran secara tanpa sentuh.
Dengan perkembangan terbaharu ini, Ryt Bank kini menjadi bank digital pertama di Malaysia yang menawarkan sokongan Apple Pay. Bagi yang tiada kad fizikal Ryt Bank, tak perlu risau kerana anda masih boleh menambah kad virtual anda ke dalam Apple Wallet.
Untuk pengetahuan anda, Apple Pay bukanlah satu-satunya dompet digital yang disokong Ryt Bank, kerana bank digital ini turut mengumumkan sokongan Google Pay pada Januari lalu.
Cara Tambah Ryt Card ke Apple Pay

Untuk menambah Ryt Bank Visa Debit Card ke Apple Wallet pada iPhone, anda boleh ikut langkah berikut:
- Buka aplikasi Ryt Bank dan pop-up “Add your Ryt Card to Apple Pay” akan dipaparkan.
- Pilih kad yang ingin ditambah, sama ada kad fizikal Ryt Card atau kad virtual Ryt Card.
- Semak nama dan nombor kad, kemudian tekan Continue.
- Terima Terma & Syarat yang dipaparkan
- Anda turut boleh pilih untuk menambah Ryt Card ke peranti Apple lain, termasuk Apple Watch
- Setelah selesai, Ryt Card boleh ditetapkan sebagai kad pembayaran lalai untuk Apple Pay.
Selepas kad ditambah, pengguna hanya perlu tekan dua kali butang kuasa pada iPhone untuk membuka Apple Pay dan membuat pembayaran. Pada Apple Watch, kaedahnya juga sama dan Apple Pay boleh digunakan pada terminal pembayaran tanpa sentuh yang menerima Visa PayWave.

Sekiranya pop-up untuk menambah kad tidak muncul dalam aplikasi secara automatik, di halaman utama, anda boleh cari bahagian “For You” dan tekan “Add Now” dan boleh ikuti langkah yang sama di atas untuk menambah kad.
Satu lagi cara adalah, pengguna juga boleh menambah Ryt Card ke Apple Wallet melalui bahagian Ryt Card dalam aplikasi.

Caranya adalah, buka aplikasi Ryt Bank, pada iPhone, tekan Cards pada bar di bahagian bawah aplikasi, pilih kad dan tekan “Add to Apple Wallet”.
Ryt Bank eKYC sudah sokong MyKad baharu
Dalam perkembangan berasingan, Ryt Bank turut mengesahkan bahawa sistem eKYC (electronic-Know Your Customer) mereka kini telah menyokong MyKad generasi baharu. Ini bermakna, pemegang MyKad baharu kini boleh mendaftar dan membuka akaun Ryt Bank yang baharu terus menerusi aplikasi.
Sebagai konteks, beberapa minggu lalu, banyak sistem eKYC menghadapi masalah untuk mengenal pasti MyKad generasi baharu selepas ia mula dilancarkan pada 17 September. Selain membawa lebih banyak ciri keselamatan, MyKad generasi baharu ini turut membawa reka bentuk baharu termasuk kedudukan cip yang kini dipindahkan ke bahagian belakang kad, serta gambar pemegang kad yang dipindahkan dari sebelah kanan ke sebelah kiri.
Perubahan pada reka bentuk ini sebelum ini menyebabkan sesetengah sistem eKYC gagal mengenal pasti MyKad baharu apabila pengguna cuba mendaftar perkhidmatan digital.
Berikut adalah kenyataan Ryt Bank mengenai perkara ini:
Kami telah bekerjasama rapat dengan penyedia teknologi eKYC kami untuk menyokong MyKad baharu sejak ia diperkenalkan. Keutamaan kami ketika itu adalah memastikan pelanggan yang terjejas masih boleh meneruskan permohonan mereka, sementara penambahbaikan yang diperlukan dibuat untuk meningkatkan keupayaan sistem mengenal pasti reka bentuk kad baharu.
Penambahbaikan tersebut telah dilaksanakan dan diuji, dan kami akan terus memantau pengalaman pengguna serta membuat penambahbaikan selanjutnya jika diperlukan.






