Antigravity, jenama yang dibangunkan oleh Insta360, memperkenalkan dua pilihan baharu untuk dron A1 8K 360° di Malaysia, iaitu Follow Me Bundle dan Remote Controller.
Ia susulan pelancaran dron A1 di Malaysia pada Mac lalu, yang didakwa sebagai dron 8K 360° pertama di dunia. Kali ini, Antigravity menawarkan dua cara berbeza untuk menerbangkan A1. Follow Me Bundle sesuai untuk mereka yang mahukan penerbangan lebih mudah, manakala Remote Controller pula untuk pengguna yang mahukan kawalan lebih terperinci.
Harga dan ketersediaan di Malaysia

Berikut harga pakej dan aksesori yang ditawarkan:
- Follow Me Bundle: RM2,799
- Accessories Kit: RM1,199 (harga asal RM1,499)
- Remote Controller sahaja: RM299 (harga asal RM379)
- Remote Controller Bundle: RM7,499
- Motion Control Infinity Bundle: RM7,499
Di samping itu, pemilik sedia ada atau pembeli Motion Control Bundle layak menikmati diskaun 20% bagi pembelian Accessories Kit dan Remote Controller.
Kandungan setiap pakej adalah seperti berikut:
- Follow Me Bundle: 1x A1, 1x Ring Remote, 1x Watch Remote, 1x Full-Coverage Propeller Guard, 1x beg silang dan 1x bateri berkapasiti tinggi.
- Accessories Kit: 1x Ring Remote, 1x Watch Remote dan 1x Full-Coverage Propeller Guard.
- Remote Controller Bundle: 1x A1, 1x Vision Goggles, 1x Remote Controller, 3x bateri penerbangan berkapasiti tinggi, 1x Quick Reader, 8x kipas ganti (set penuh) dan 1x beg sandang.
- Motion Control Infinity Bundle: 1x A1, 1x Vision Goggles, 1x Grip Motion Controller, 3x bateri penerbangan berkapasiti tinggi, 1x Quick Reader, 8x kipas ganti, 2x bingkai kanta pembetulan dan 1x beg sandang.
Semuanya boleh didapati di kedai fizikal Insta360 Malaysia di seluruh negara, Insta360 Official Store di Shopee, Insta360 Flagship Store di Lazada dan Insta360 Official Store di TikTok.
Spesifikasi dron Antigravity A1
Melihat kepada spesifikasi teras, Antigravity A1 dibekalkan dengan modul kamera tunggal berasaskan sensor 1/1.28 inci dan bukaan apertur f/2.2. Kamera ini berkeupayaan merakam video resolusi tinggi 8K 30fps, rakaman gerak perlahan (slow motion) 4K 100fps, serta tangkapan foto beresolusi 55MP. Untuk storan, ia didatangkan dengan storan dalaman 20GB di samping sokongan slot kad microSD sehingga 1TB.
Dari segi penerbangan, ia menawarkan masa penerbangan sehingga 24 minit menggunakan bateri standard atau 39 minit dengan bateri kapasiti tinggi. Jarak penerbangan maksimum pula mencecah 13km dan 23km, masing-masing, bergantung pada jenis bateri.

Antigravity A1 berupaya mencapai kelajuan mendatar maksimum sehingga 16 m/s (~57.6 km/j) dalam Mod S, 12 m/s dalam Mod N, dan 3 m/s dalam Mod C, serta direka dengan ketahanan angin sehingga Tahap 5 (10.7 m/s). Keselamatan penerbangan ditunjangi oleh sistem navigasi satelit tri-sistem GPS, Galileo, BeiDou, sensor penglihatan hadapan dan bawah, serta sensor inframerah di bahagian bawah.
Sistem penghantaran video OmniLink 360 menawarkan paparan langsung pada resolusi 2K dan kadar 30fps, dengan jarak penghantaran maksimum sehingga 10km di kawasan terbuka tanpa gangguan, bergantung pada piawaian wilayah.
Follow Me Bundle

Dengan pakej Follow Me Bundle, ia menggabungkan dron A1 bersama Watch Remote, Ring Remote dan beberapa aksesori tambahan. Pakej ini membolehkan dron menjejak subjek secara pintar sambil merakam keseluruhan persekitaran dalam kualiti 8K 360 darjah.
Berbeza daripada dron yang hanya merakam satu sudut paparan statik, A1 boleh merakam persekitaran di sekelilingnya. Pengguna boleh memilih subjek, menambah kesan pan atau menghasilkan syot sinematik selepas rakaman dibuat. Ini membolehkan pengguna menumpukan perhatian kepada aktiviti yang sedang dilakukan tanpa perlu sentiasa mengawal arah kamera.
Antara ciri utama Follow Me Bundle ialah:
- Penjejakan visual dan GNSS: Watch Remote menggabungkan penjejakan visual berasaskan AI dengan sistem penentududukan GNSS untuk memastikan dron kekal menjejaki subjek dengan stabil, termasuk ketika bergerak pantas atau terlindung seketika di sebalik halangan.
- Watch Remote dan Ring Remote: Watch Remote dipakai pada pergelangan tangan untuk memaparkan status penerbangan serta memberikan akses pantas kepada arahan asas dron. Ring Remote pula membolehkan pengguna mengawal pergerakan dron melalui gerak isyarat tangan.
- Drag-to-Fly: Ciri ini membolehkan pengguna mengubah jarak atau kedudukan dron di udara menggunakan gerak isyarat tangan menerusi Ring Remote, tanpa perlu menghentikan rakaman atau mengendalikan kawalan secara manual.
- Full-Coverage Propeller Guards: Pelindung kipas yang meliputi keseluruhan kipas A1, digabungkan dengan sistem pengelakan halangan omniarah untuk membantu penerbangan di kawasan yang mempunyai objek dan orang ramai.

Follow Me Bundle sesuai digunakan untuk mmerakam aktiviti seperti berbasikal, mendaki atau meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan, tanpa perlu terlalu banyak mengendalikan dron ketika aktiviti berlangsung.
Remote Controller
Bagi pengguna yang mahukan kawalan lebih tepat, Antigravity turut memperkenalkan Remote Controller. Ia membawa kawalan dual-stick kepada A1 untuk pengendalian penerbangan yang lebih terperinci. Dengan alat kawalan ini, anda boleh menerbangkan dron ke mana-mana arah dan melakukan manuver udara yang lebih kompleks. Ia sekali gus memberi kawalan lebih terperinci untuk menghasilkan pelbagai jenis rakaman dari udara.

Remote Controller turut dilengkapi dua ciri yang membantu anda mengawal perspektif rakaman termasuk Fixed View untuk menyelaraskan perspektif tontonan dengan haluan dron dan Virtual Gimbal yang membolehkan anda melawarkan sudut kamera dengan lebih tepat ketika dron berada di udara.
Gabungan ini membolehkan rakaman dinamik seperti Tail Whip, serta peralihan perspektif yang lancar seolah-olah menoleh untuk melihat ke belakang.
Untuk maklumat lanjut mengenai spesifikasi dan pembelian, layari laman web rasmi Antigravity A1.






