Huawei Malaysia telah mengesahkan bahawa siri Nova 16s terbaharunya akan dilancarkan untuk pasaran tempatan pada minggu hadapan. Barisan telefon pintar baharu ini terdiri daripada Huawei Nova 16s dan Nova 16s Pro, menawarkan sokongan 5G, bateri gergasi 7,000mAh, serta penekanan khusus terhadap keupayaan fotografi potret.
Tarikan utamanya adalah pada Nova 16s Pro yang menampilkan kamera utama 200MP dengan sensor besar berukuran 1/1.28″. Malah, kedua-dua model ini juga didatangkan dengan kamera telefoto periskop 50MP.
Menjelang hari pelancarannya, Huawei telah pun mendedahkan spesifikasi penuh serta promosi awal bagi kedua-dua model ini menerusi laman web rasmi mereka di Malaysia.
Promosi dan ketersediaan Huawei Nova 16s dan Nova 16s Pro di Malaysia

Siri Huawei Nova 16s ini akan dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada hari Khamis, 19 November 2026, jam 3:00 petang. Pengumuman harga rasminya juga akan diumumkan ketika acara tersebut berlangsung.
Sebelum pelancaran rasmi, Huawei telah membuka tempahan awal untuk siri Nova 16s dengan deposit sebanyak RM100 menerusi kedai dalam talian mereka. Pelanggan boleh menikmati rebat sehingga RM600, bersama-sama pakej hadiah percuma serta perkhidmatan bernilai sehingga RM1,956.
Pakej promosi tersebut merangkumi seutas Huawei Band 11 (bernilai RM189), pengecas Huawei 100W (bernilai RM119), dan penggantian pelindung skrin selama setahun (bernilai RM49). Selain itu, Huawei turut menawarkan perkhidmatan premium bernilai sehingga RM1,599 yang merangkumi pakej Worry-Free Care selama setahun dan waranti APAC & MEA selama setahun.
Nova 16s Pro akan ditawarkan dalam dua pilihan warna: Breathing Crystal dan Starry Black. Sementara itu, model standard Nova 16s mendapat satu pilihan warna tambahan iaitu Sky White.
Kedua-dua telefon pintar ini boleh ditempah melalui kedai dalam talian rasmi Huawei Malaysia, serta kedai rasminya di platform Shopee, Lazada, dan TikTok Shop.
Spesifikasi Huawei Nova 16s Pro

Huawei Nova 16s Pro merupakan model paling premium dalam siri ini, membawakan paparan LTPO OLED 6.84″ beresolusi 2856×1320 piksel. Skrin ini menyokong kadar segar semula adaptif 1-120Hz, pemalapan PWM 2160Hz, serta kecerahan puncak yang didakwa mampu mencecah sehingga 6,000 nits.
Dari segi prestasi, Nova 16s Pro diperkasakan oleh cip pemproses lapan-teras Kirin 9010S daripada Huawei. Ia dipadankan dengan memori RAM 12GB serta storan dalaman bersaiz 512GB.

Di jabatan pengimejan, Nova 16s Pro menggunakan kamera utama 200MP RYYB dengan sensor besar 1/1.28″, bukaan f/1.8, dan penstabilan imej optikal (OIS). Ia turut digandingkan bersama kamera telefoto periskop 50MP RYYB yang menawarkan zum optikal 3.7x berserta OIS, dan juga kamera ultra-lebar 50MP RYYB yang menyokong sudut pandangan seluas 118 darjah serta keupayaan tangkapan makro.
Terdapat juga kameramultispektrum True-to-Colour 1.5MP khusus yang direka untuk meningkatkan penghasilan semula warna, terutamanya untuk menjadikan rona kulit yang lebih semula jadi.

Di bahagian hadapan, Nova 16s Pro dilengkapi kamera swafoto 50MP, disokong oleh satu lagi sensor True-to-Colour. Huawei turut menawarkan zum swafoto dan swafoto kumpulan dari 0.8x hingga 5x, supaya pengguna boleh melaraskan bingkai mengikut situasi.
Menyentuh soal bateri, Nova 16s Pro membawakan kapasiti yang sangat besar iaitu 7,000mAh, disokong oleh pengecasan berwayar pantas Huawei SuperCharge Turbo 100W.
Biarpun disumbat bateri sebesar itu, peranti ini tampil dengan rekaan nipis 7.1mm sahaja dan seberat sekitar 218g. Ia dikemaskan lagi dengan bingkai aloi aluminium, perlindungan skrin tahan lasak Kunlun Glass, serta pembesar suara stereo.
Spesifikasi Huawei Nova 16s

Bagi model standard Huawei Nova 16s pula, ia menawarkan paparan OLED 6.68″ yang sedikit lebih kecil dengan resolusi 2800×1280 piksel. Skrin ini tetap menyokong kadar segar semula sehingga 120Hz, pemalapan PWM 2160Hz, dan tahap kecerahan puncak sehingga 5,500 nits.
Berbeza dengan model Pro, Nova 16s varian asas ini dikuasakan oleh cip pemproses lapan-teras Kirin 8020, dipadankan bersama RAM 12GB dan ruang storan 256GB.
Untuk tetapan kamera, Nova 16s menerima kamera utama 50MP dengan apertur f/1.9, digandingkan bersama kamera telefoto periskop 50MP RYYB yang menyokong zum optikal 3.3x serta OIS. Ia juga hadir dengan sensor True-to-Colour khusus untuk menghasilkan warna yang lebih tepat.
Walau bagaimanapun, model standard ini tidak mempunyai kamera ultra-lebar, di samping ketiadaan sokongan penstabilan imej optikal (OIS) pada kamera utama 50MP. Kamera hadapan 50MP pada model ini juga tidak dilengkapi sensor tambahan True-to-Colour seperti versi Pro.
Seperti model Pro, Nova 16s standard turut dimuatkan dengan bateri 7,000mAh yang menyokong pengecasan pantas 100W Huawei SuperCharge Turbo. Peranti ini juga sedikit lebih ringan pada anggaran 199g dengan ketebalan 7.3mm.

Kedua-dua model dalam siri ini menawarkan pelbagai ciri fotografi dan suntingan pintar yang dikuasakan oleh AI. Ini termasuk ciri seperti AI Composition, AI Move, AI Remove, AI De-glare, dan AI Best Expression.
Dari segi perisian, kedua-dua peranti Nova 16s ini menjalankan sistem operasi EMUI 16 sejurus keluar dari kotak. Menariknya, Huawei turut membawakan ciri perkongsian fail merentas platform melalui aplikasi Petal Interconnect. Ciri ini membolehkan pengguna memindahkan gambar antara peranti yang menggunakan sistem operasi berbeza, termasuk dengan peranti Apple yang serasi.
Namun seperti biasa, perlu diingatkan bahawa telefon pintar Huawei ini tidak didatangkan dengan perkhidmatan Google (Google Mobile Services) secara terbina. Oleh itu, anda perlu menggunakan gedung aplikasi Huawei AppGallery untuk mencari dan memuat turun aplikasi keperluan anda.






