Anda pemegang kad Public Bank yang sekian lama menantikan sokongan Apple Pay pada peranti Apple anda? Berita baiknya, penantian tersebut kini berakhir setelah Public Bank mengumumkan sokongan rasmi ciri pembayaran itu untuk kedua-dua pelanggan Public Bank (PB) dan Public Islamic Bank (PIB).
Walaupun ketibaannya agak lewat memandangkan fungsi Apple Pay telah pun ditawarkan di Malaysia sejak Ogos 2022, PB dan PIB sebenarnya telah pun menyokong beberapa platform pembayaran digital lain seperti Google Pay, Samsung Pay, dan Garmin Pay.
Kad Public Bank yang menyokong Apple Pay

Berdasarkan halaman Soalan Lazim (FAQ) di laman web rasmi bank berkenaan, hampir kesemua kad Visa dan Mastercard keluaran mereka disokong pada Apple Pay. Ini merangkumi kad kredit serta kad debit daripada kedua-dua PB dan PIB.
Menurut senarai FAQ tersebut, hanya empat jenis kad Public Bank yang tidak layak digunakan dengan Apple Pay:
- Kad Kredit PB-AIA Visa Gold
- Kad Komersial PB Visa
- Kad Perniagaan PB Visa
- Kad Debit PB UnionPay Lifestyle
Pelanggan boleh mengaktifkan Apple Pay untuk kad mereka menerusi pilihan “Apple Wallet” di dalam aplikasi MyPB, atau menambahnya secara terus melalui aplikasi Apple Wallet pada peranti Apple masing-masing.
Nikmati pulangan tunai sehingga RM30 dengan Apple Pay

Bagi meraikan sokongan Apple Pay ini, Public Bank turut menjalankan program pulangan tunai (cashback) buat pelanggan yang membuat pembayaran melalui Apple Pay menggunakan kad PB atau PIB yang layak. Untuk setiap tiga transaksi Apple Pay bernilai sekurang-kurangnya RM50 setiap satu, pelanggan akan menerima pulangan tunai sebanyak RM10.
Kempen ini berlangsung sehingga 16 Disember 2026 dan pelanggan berpeluang menikmati pulangan tunai maksimum sehingga RM30. Kesemua transaksi tersebut perlu dilakukan dalam tempoh 30 hari dari tarikh pengaktifan Apple Pay, selain pelanggan diwajibkan mendaftar terlebih dahulu menerusi perbankan dalam talian PBe atau melalui SMS.
[Sumber: Public Bank]






