Nvidia mengumumkan bahawa pengasas bersamanya, Jensen Huang, kini kembali memegang jawatan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu, hanya selepas 11 hari beliau meletak jawatan susulan kontroversi berkaitan hubungan peribadi dan dakwaan kaitan dengan individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan perisikan China.
Dalam kenyataan terbaru Nvidia, mereka mengesahkan bahawa Lembaga Pengarah syarikat itu sebulat suara bersetuju mengembalikan Huang sebagai CEO dan ahli Lembaga Pengarah, berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan tersebut dibuat selepas beberapa siri perbincangan dan pertemuan dengan Huang. Lembaga Pengarah berkata mereka berpuas hati dengan keterbukaan beliau serta keupayaannya untuk terus menerajui Nvidia.
Nvidia turut mendapatkan pandangan daripada pihak kanan kerajaan Amerika Syarikat sebelum membuat keputusan. Berdasarkan maklum balas yang diterima, lembaga itu yakin kepulangan Huang tidak menimbulkan risiko keselamatan negara.
Jensen Huang individu tepat untuk menerajui syarikat

Pengerusi Lembaga Pengarah NVIDIA, Harvey C. Jones, berkata pihaknya yakin Huang merupakan individu yang tepat untuk memimpin syarikat itu. Beliau turut menyatakan bahawa pelantikan semula Huang adalah demi kepentingan pemegang saham, pekerja, rakan niaga dan pelanggan Nvidia.
Jones akan terus memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah. Sementara itu, Colette Kress yang sebelum ini mengambil alih tugas CEO sementara selepas peletakan jawatan Huang pada 12 November 2026, akan kembali menjalankan tanggungjawab asalnya sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO).
Mengulas mengenai kepulangannya, Huang berkata beliau berbesar hati untuk kembali ke Nvidia dan menerajui salah sebuah syarikat teknologi paling berpengaruh di dunia. Beliau turut menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Lembaga Pengarah, selain berterima kasih kepada Colette Kress dan barisan pengurusan yang menerajui syarikat sepanjang tempoh ketiadaannya.
Apa yang mencetuskan peletakan jawatan Jensen Huang?

Untuk konteks, Huang meletakkan jawatan pada 12 November 2026 selepas beberapa laporan media mendedahkan dakwaan hubungan sulit yang melibatkan beliau.
Antara yang dilaporkan ialah hubungannya dengan Alice Huang, bekas eksekutif di syarikat infrastruktur AI berpangkalan di Singapura, Megaspeed International. Berdasarkan laporan, Alice Huang dikenal pasti oleh pegawai perisikan Amerika Syarikat sebagai individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan perisikan China.
Kontroversi tersebut turut menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan cip AI Nvidia yang tertakluk pada sekatan eksport disalurkan ke China.
Dalam perkembangan berasingan, The New York Times turut melaporkan dakwaan hubungan sulit Huang dengan Kimberly Powell, Naib Presiden bahagian Healthcare di Nvidia.
Huang sebelum ini mengakui berlaku curang terhadap isterinya. Bagaimanapun, dakwaan berkaitan kaitan dengan kegiatan perisikan asing dan kemungkinan penyaluran cip AI ke China masih belum dibuktikan.
Siasatan bebas Nvidia masih diteruskan

Walaupun Huang telah kembali sebagai CEO, Nvidia mengesahkan bahawa siasatan dalaman berkaitan laporan bahawa beliau menjadi sasaran usaha perisikan asing masih akan diteruskan.
Sebelum ini, Lembaga Pengarah telah membentuk jawatankuasa khas yang terdiri daripada pengarah bebas untuk menyiasat perkara tersebut. Jawatankuasa itu turut mendapatkan khidmat penasihat undang-undang bebas bagi membantu siasatan.
Huang menyatakan sokongan terhadap siasatan berkenaan dan komited untuk memberikan kerjasama sepenuhnya.
Selain itu, Nvidia turut menubuhkan jawatankuasa baharu dikenali sebagai “National Security and Export Control Committee” yang terdiri daripada pengarah bebas. Tugasnya adalah memantau pematuhan perdagangan serta risiko keselamatan negara.
Jawatankuasa tersebut sedang mendapatkan khidmat penasihat undang-undang yang berpengalaman dalam hal keselamatan negara, termasuk pakar khusus untuk membantu tugas berkenaan.
Dalam masa sama, Nvidia juga sedang mencari calon bagi mengisi jawatan Ketua Pegawai Pematuhan (Chief Compliance Officer). Individu yang dilantik akan menyelia pematuhan di seluruh syarikat dan melaporkan terus kepada Jawatankuasa Pencalonan dan Tadbir Urus Korporat.
Nvidia menegaskan bahawa syarikat itu akan terus bekerjasama dengan pihak kerajaan berhubung siasatan dan pertanyaan yang sedang dijalankan.






