Dalam zaman modernisasi ini, semuanya digital. Jika dulu berita dicetak dalam bentuk akhbar harian, kini ia tular melalui platform sosial sekelip mata. Jika dulu berhubung dengan surat, kita berpindah ke SMS, dan kini ke WhatsApp/Telegram. Sejauh manapun kemajuan, benda-benda klasik tetap miliki peminatnya yang tersendiri.
Dunia fotografi juga begitu. Memang akan ada orang yang lebih menggemari foto bercetak berbanding digital. Katanya ia unik dan miliki karakternya yang tersendiri. Oleh sebab ia boleh dipegang dan wujud dalam ruang 3D, nilai estetika yang dikaitkan kepadanya dilihat lebih tinggi.
https://www.youtube.com/watch?v=x0GhTiXJ0V0
Salah satu produk yang tergolong dalam kategori ini adalah Canon Mini Photo Printer PV-123. Ia adalah sebuah pencetak mudah alih bersaiz poket yang dikuasakan bateri. Pasti ramai tertanya-tanya akan sejauh mana praktikalnya produk ini dalam dunia moden dan untuk siapakah benda ini berguna?
Itu anda akan ketahui di penghujung reviu ini.
Apa Ada Dalam Kotak?
Produk ini hadir dalam pakej yang ringkas. Bersama-sama pencetak, anda akan menemui sepaket kertas foto yang mengandungi 10 keping bersama-sama kabel mikro-USB serta beberapa keping kertas manual.
Berikut adalah spesfikasi ringkas PV-123:
- Menggunakan saiz kertas 2” x 3” daripada jenis kertas ZINK.
- Mampu menampung 10 keping kertas foto dan 1 keping Smart Sheet.
- Disambung dengan telefon melalui APP khas.
- Ada bateri 500mAh yang dicas penuh dalam masa sekitar 90 minit
- Satu bateri penuh boleh mencetak sekitar 20 keping gambar
- Satu gambar mengambil masa kira-kira 50 saat
Cara Operasi Pencetak PV-123
Secara asasnya, mengendalikan pencetak ini amatlah mudah dan mesra kanak-kanak. Saya bahagikan pengoperasian PV-123 kepada tiga bahagian iaitu:
- APP Telefon
- Kertas Gambar
- Pencetak
Untuk membolehkan telefon berhubung dengan pencetak, anda perlu memasang APP Canon Mini Print yang ada pada platform Android dan juga iOS.
Pemuka APP yang minimalistik
Antara muka APP yang berkomunikasi dengan pencetak adalah minimalistik dan mudah digunakan. Ikonnya besar dan tidak sukar untuk mengetahui apakah kegunaan setiap ikon.
Untuk mencetak gambar, APP ini boleh mengambil daripada pelbagai sumber seperti:
- terus dari kamera
- dari gambar yang sedia ada dalam telefon
- daripada awan seperti Facebook, Intagram, Google Photos, dan Dropbox
Boleh ambil gambar dari platform media sosial untuk dicetak
Sebelum mencetak anda boleh menyuntingnya seperti meletak teks ataupun ubahnya jadi kolaj bersama-sama gambar yang lain.
Komponen kedua dalam pengoperasian PV-123 adalah kertas gambar. Kertas yang digunakan pada pencetak ini adalah kertas khas dan ia berbeza daripada kertas foto biasa. Daripada jenama ZINK, kertas ini tidak memerlukan dakwat sebaliknya warna yang dihasilkannya bergantung pada elemen pemanas yang ada dalam pencetak, seperti mesin faks.
Kertas foto ZINK 2 x 3″
Di kedai dalam talian Canon, kertas ini dijual pada harga RM37.50 untuk 20 keping. Ia menjadikan kos sekeping kertas foto ini adalah RM1.90.
Memasukkan kertas kedalam pencetak ini ada rukunnya. Walaupun bahagian atas pencetak yang melidungi ruang kertas foto mudah dibuka, ada satu kertas khas yang berwarna biru perlu dimasukkan terlebih dahulu. Ia berfungsi sebagai tag yang memberitahu pencetak jenis kertas foto yang digunakan.
Smart Sheet ini akan beritahu pencetak jenis kertas apa yang akan digunakan
Ia perlu diletakkan di bawah sekali
Kerta foto ZINK ini boleh didapati dalam pelbagai jenama. Jadi setiap jenama ini ada tag khas agar pencetak tahu jenis kertas apa yang akan dicetak gambar diatasnya.
Komponen ketiga dan yang terakhir adalah pencetak PV-123. Untuk menggunakannya, pencetak terlebih dahulu perlu disambungkan pada telefon melalui sambungan Bluetooth.
Pencetak ini dicas melalui port mikro-USB yang terletak di bahagian sisi. Apabila penuh, lampu LED akan bertukar kepada warna hijau. Satu cas penuh boleh mencetak sekitar 20 keping gambar dan satu gambar mengambil masa sekitar 50 saat dariapda jari menekan “cetak” dan gambar keluar sepenuhnya.
Kualiti Gambar
Sudah lama saya tak mencetak gambar fizikal. Tapi dibandingkan dengan versi digital, saya berpuas hati dengan ketajaman gmabar yang dicetak atas kerta 2 x 3 ini. Daripada sudut warna, tidak banyak yang ingin diadukan. Gambar sedikit sejuk tapi saya anggapnya sebagai identiti unik miliknya.
Cuma saya harap pencetak ini boleh mencetak gambar yang lebih besar kerata 2 x 3 terlalu kecil.
Kesimpulan & Penutup
Canon Mini Photo Printer PV-123 adalah sebuah produk yang menarik. Ia memberikan pengalaman mencetak gmabar fizikal yang dimodenkan dengan kehadiran telefon sebagai pemandu arah pencetak.
Ia bersaiz poket dan beroleh kuasa dari bateri di dalam badannya. Dengan satu cas penuh, ia boleh menghasilkan sekitar 20 keping gambar. Kertas foto yang digunakannya adalah jenis khas ZINK bersaiz 2 x 3”.
APP yang dipasang di telefon untuk mengawal pencetak adalah intuitif dan boleh mencetak gambar dari pelbagai sumber termasuklah dari awan seperti Facebook, Instagram, dan sebagainya.
Jika ditanya untuk siapakah pencetak ini sesuai, saya katakan untuk anda yang gembar menghasilkan buku skrap ataupun menulis diari hidup. Ia adalah penyelesaian terpantas berbanding mencetak gambar menggunakan pencetak inkjet.
Saya juga membayangkan menggunakan pencetak ini untuk menghasilkan gambar berukuran passport semasa saya memohon pekerjaan ataupun visa untuk ke luar negara.
Jika anda berminat untuk memiliki sebuah Canon Mini Photo Printer PV-123, ia dijual pada harga RM499.