Pelancaran siri Honor 20 peringkat global akan diadakan di London pada 21 Mei 2019. Kini tarikh pelancarannya di Malaysia telah ditetapkan, pada minggu yang sama dengan pelancaran di London.
Di Malaysia, pelancaran siri Honor 20 telah ditetapkan pada hari Khamis, 23 Mei 2019 iaitu 2 hari selepas pelancaran di London. Majlis pelancaran ini akan dimeriahkan dengan kehadiran duta Honor 20, Mira Filzah.
Honor Malaysia turut mengumumkan lebih awal, tempahan awal untuk Honor 20. Ia akan dibuka bermula dari 24-28 Mei 2019 dan menyediakan hadiah percuma bernilai RM500 untuk penempah awal di masa ini. Hadiah percuma tersebut berupa beg Honor, pembesar suara bluetooth Honor SoundStone dan Honor Band 4.
Tempahan awal ini boleh dibuat di mana-mana Stor Honor Experience (HES) serta di senQ Digital Stations terpilih di seluruh negara. Mereka yang membuat tempahan awal, boleh mengambil tempahan bermula pada 29 Mei di mana ia juga tarikh bermulanya Honor 20 dijual di Malaysia.
Dari maklumat yang telah tersebar sebelum ini, Honor 20 dikuasakan pemproses Kirin 980, bersama RAM 6GB dan storan 128GB. Skrinnya sebesar 6.26-inci, memiliki lubang di sudut kiri yang memuatkan kamera hadapan. Kamera belakangnya ada empat iaitu kamera utama 48MP, kamera ultra lebar 16MP, kamera pengesan kedalaman 2MP dan kamera makro 4cm.
Tenaganya datang dari bateri 3,750mAh dan ia menyokong pengecasan pantas Huawei SuperCharge 22.5W melalui USB-C. Sedikit sebanyak, ia agak serupa dengan Honor View 20 dalam saiz lebih kecil dan kamera lebih banyak.
Jangan lupa untuk saksikan pelancaran Honor 20 di London pada 21 Mei 2019 pukul 9 malam, menerusi Facebook Honor Malaysia. Lepas tu kalau berminat, bersiap-sedialah nak buat tempahan awal dan dapatkan hadiah percuma bernilai RM500.