Hanya tinggal beberapa hari sahaja sebelum Syawal menjelang, Apple Malaysia telah berkongsi video dan gambar #ShotoniPhone yang menakjubkan oleh beberapa jurugambar tempatan.
Tema gambar yang diambil kali ini berdasarkan elemen penting identiti Malaysia di bulan Ramadan iaitu Bazar Makanan.
Menerusi gambar tersebut, para pembaca dapat merasai kepelbagaian jenis makanan yang terdapat di bazar, dalam bulan Ramadan ini.
Bukan itu sahaja, jurugambar ini juga turut berkongsi beberapa tips berguna untuk mengambil gambar dan video yang menarik, menggunakan telefon pintar.
Apam Balik
Gambar apam balik yang kelihatan menyelerakan di atas diambil oleh Sufian Ghaffar dengan menggunakan iPhone XS dan iPhone XR.
Untuk mendapatkan hasil gambar yang cantik, Sufian juga turut berkongsi beberapa tips. Antaranya:
- Gunakan lensa sudut lebar untuk dapatkan gambar lebih luas dan dapat memberikan kesan dramatik pada subjek.
- Gunakan mod potret untuk dapatkan kesan kabur atau bokeh pada latar belakang dan menyerlahkan butiran subjek.
Bagi menghasilkan sebuah video ringkas yang menarik, Suffian juga menggunakan teknik:
- Time Lapse – untuk memberikan rasa suasana Bazar Ramadan dengan menonjolkan pergerakan orang ramai yang cepat semasa waktu puncak.
- Slow-motion – digunakan untuk menyerlahkan butiran setiap pergerakan (contoh: menabur gula dan kacang)
- Untuk dapatkan kualiti gambar yang baik, gunakan shot dekat terhadap subjek.
Untuk suntingan pula, Suffian menggunakan iMovie dan Vue App. iMovie digunakan kerana aplikasi tersebut sudah tersedia pada iPhone dan Vue App digunakan untuk menetapkan video kepada mod menegak.
Kepak Ayam Madu
Dengan menggunakan fungsi seperti Time Lapse, Slow-Motion dan mod Potret pada iPhone XS Max, Ahady Rezan berjaya mengambil gambar kepak ayam madu dengan cantik sekali.
Antara tips yang dikongsikan oleh Ahady sendiri ialah:
- Cuba untuk berada di lokasi seawal mungkin atau apabila peniaga sedang membuat persiapan perniagaannya. Jadi ia memberikan anda masa untuk merancang penggambaran anda.
- Cuba bermain dengan fungsi kamera iPhone seperti mod Potret, Time-Lapse dan Slow-Motion.
- Sediakan storyboard ringkas. Ini kerana ia akan membantu dalam merancang turutan video anda.
- Ambil sebanyak mungkin gambar yang boleh. Ia akan membantu anda dalam proses suntingan.
Ahady hanya menggunakan tiga aplikasi suntingan iaitu Mojo dan Inshot untuk video dan Adobe Lightroom untuk gambar.
Kuey Teow Goreng
Gambar kuey teow goreng yang lazat dan menarik ini diambil oleh Shaz Sharif dengan menggunakan fungsi kamera seperti Time Lapse, Slow-Motion dan mod Potret pada iPhone XR dan iPhone XS.
Terdapat beberapa tips yang ingin dikongsi oleh Shaz sendiri. Antaranya:
- Untuk berikan impak yang lebih, cuba ambil momen atau pergerakan dengan menggunakan fungsi kamera yang bersesuaian (mod Potret, Time Lapse dan Slow-Motion).
- Lebih dekat lensa kamera anda dengan subjek, lebih berkualiti gambar yang ditangkap.
- Jangan lupa untuk mengaktifkan fungsi Smart HDR untuk pastikan anda tidak kehilangan butiran pada gambar.
Sama seperti Ahady, Shaz juga menggunakan Mojo dan Inshot untuk suntingan video dan Adobe Lightroom untuk suntingan gambar.
Nasi Arab dan Shawarma Ayam
Bagi Aazmeer Iskandar pula, beliau mengambil gambar-gambar di atas menggunakan iPhone XR. Ini kerana bagi dia fungsi mod Potret yang ada pada iPhone XR berjaya menghasilkan gambar potret yang menarik.
Untuk menghasilkan sebuah imej yang menarik, tips dari Aazmeer adalah seseorang itu perlu sentiasa berfikir di luar kotak dan cuba untuk menangkap gambar dari sudut yang berbeza.
Hal tersebut kerana baginya ia merupakan suatu keseronokan untuk bermain dengan sudut gambar selagi anda berpegang kepada Rules of Third.
Untuk suntingan pula, Aazmeer juga menasihati agar tidak terlalu banyak menggunakan aplikasi suntingan kerana ia akan mengurangkan kualiti gambar.
Bagi dia, Adobe Lightroom merupakan aplikasi yang seringkali digunakan untuk mencantikkan gambar selain menggunakan fungsi suntingan pada Instagram.