Takuk dan lubang di skrin akan tinggal menjadi kenangan apabila teknologi kamera di bawah skrin mula digunakan. Ia dilihat sebagai teknologi terbaik untuk kamera hadapan tanpa mengambil ruang di atas skrin.
Dua pengeluar telefon pintar dari China, Oppo dan Xiaomi telah berkongsi demonstrasi bagaimana teknologi kamera di bawah skrin akan digunakan.
Menerusi akaun twitter mereka, Oppo memuat naik video pendek sebuah prototaip telefon pintar. Ia menunjukkan bagaimana kamera di bawah skrin mengambil gambar swafoto.
Tidak berapa lama selepas itu, Xiaomi juga memuat naik sebuah video pendek di twitter mereka. Bagaimanapun, video ini dilihat lebih menarik kerana ia bermula dengan membandingkan telefon bertakuk dan tanpa takuk. Kemudian telefon tanpa takuk itu mula mengambil gambar swafoto menggunakan kamera yang tersembunyi di bawah skrin.
Jika diperhatikan dengan teliti, kedua-dua telefon pintar Oppo dan Xiaomi ini akan menghitamkan bar di atas skrin apa bila mahu kamera depan diaktifkan. Selain Oppo dan Xiaomi, Samsung juga dilaporkan sedang berusaha menghasilkan teknologi yang hampir sama.
Semasa Forum Samsung OLED 2018, Samsung telah mempersembahkan paparan AMOLED baru yang memiliki pengimbas capjari dalam skrin, kamera depan di dalam skrin, pembesar suara di dalam skrin dan penggetar haptik di atas skrin. Bagaimanapun, Galaxy Note 10 yang akan dilancarkan dalam masa beberapa bulan lagi mungkin tidak menggunakan paparan ini kerana gambar yang tersebar menunjukkan ia masih mengekalkan skrin berlubang.