Hari ini, 12 Julai 2019 adalah hari penguatkuasaan pemandu e-hailing untuk memiliki lesen PSV. Mana-mana pemandu yang tidak memiliki lesen PSV dan mengambil penumpang, boleh dikenakan tindakan menurut Seksyen 56 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987. Pesalah boleh dikenakan denda tidak lebih dari RM2,000 atau penjara tidak lebih dari 6 bulan jika didapati bersalah.
Pemandu juga boleh dikenakan tindakan jika tidak memaparkan pelekat e-hailing, kesalahan di bawah peraturan Kenderaan Perkhidmatan Awam (Pelesenan dan kelakuan Pemandu, Konduktor dan Penumpang) 1959. Pesalah boleh dikenakan denda tidak lebih dari RM2,000 atau penjara tidak lebih dari 6 bulan jika didapati bersalah.
Penguatkuasaan undang-undang di mana pemandu e-hailing perlu mendapatkan lesen PSV sebelum Julai 2019 telah diumumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada Julai tahun lepas. Tetapi kelas latihan dan ujian PSV untuk pemandu e-hailing mula dilaksanakan pada 1 April 2019.
Menurut Grab, hanya 10% dari pemandu aktif mereka yang memiliki lesen PSV. MyCar pula menyatakan, sekitar 3,000 ke 4,000 dari 70,000 pemandu mereka telah mendapatkan lesen PSv. Jumlah ini kurang dari 10%.
Mengapakah kurang dari 10% pemandu e-hailing sudah memiliki lesen PSV?
Zamri, salah seorang pemandu e-hailing berkongsi pengalaman beliau mendapatkan lesen PSV. Beliau perlu mengeluarkan RM800 untuk mendapatkan lesen, membuat pemeriksaan kedneraan di PUSPAKOM dan menukar tayar kereta. Beliau terpaksa melakukannya kerana memandu sepenuh masa.
Beliau percaya, ramai pemandu sambilan tidak mahu mengambil kisah tentang lesen PSV ini.
Shamsul juga telah mendapat lesen PSV, membelanjakan kurang dari RM500 secara keseluruhan. RM30 untuk lesen, RM15 untuk pemeriksaan kesihatan, RM77 untuk PUSPAKOM tetapi gagal, dan RM25 lagi untuk pemeriksaan semula kenderaan.
Selvam pula, beliau masih belum mendapat lesen PSV tetapi akan terus memandu kerana tidak menerima sebarang maklumat dari syarikat dan tidak tahu sama ada sistem boleh diakses atau tidak pada 12 Julai.
Alasan Pemandu Tidak Boleh Diterima
Presiden Persatuan Pemandu E-hailing Malaysia (MEHDA), Daryl Chong berkata, banyak pemandu berharap Kementerian Pengangkutan tidak akan melaksanakan peraturan baru itu. Mereka meminta agar MEHDA menyalurkan aduan mereka kepada kerajaan, tetapi ia tidak boleh dilakukan. Pemandu ada masa lebih 3 bulan untuk melengkapkan prosedur dan sedar kos yang bakal dikenakan. Mereka ada masa setahun sejak ia pertama kali diumumkan, untuk menyimpan wang dan meluangkan masa bagi menyelesaikan semuanya. Keselamatan penumpang adalah penting, kerana itu peraturan ini penting untuk dilaksanakan.
Grab telah memperkenalkan pakej Berat Sama Dipikul di mana mereka memberi subsidi kepada pemandu seperti latihan PSV percuma, pemeriksaan kesihatan percuma serta bantuan memohon lesen PSV selepas lulus ujian. Menurut Grab, mereka telah memberi sebanyak 70% subsidi kepada pemandu untuk mendapatkan lesen PSV.
Pengasas MyCar, Mohd Noah Maideen berkata, mereka akan menyekat akaun pemandu yang masih tidak memiliki lesen PSV kerana terpaksa mengikut peraturan yang ditetapkan. Perkara ini penting untuk mendidik pemandu tentang kepentingan lesen PSV serta undang-undang tidak dipandang ringan.
Tetapi beliau bersetuju dengan permintaan untuk melanjutkan lagi tarikh akhir pemilikan lesen PSV kepada 3 bulan lagi untuk membenarkan semua pemandu menerima lesen mereka. Beliau merayu agar Kementerian Pengangkutan mengkaji semula tarikh akhir ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke apabila ditanya wartawan apa komen beliau tentang permintaan melanjutkan tarikh akhir ini, beliau mengatakan akan memberi jawapan selepas mesyuarat kabinet yang diadakan pada hari ini, 12 Julai 2019.
Sumber: New Strait Times