fbpx

Tambang Grab akan naik kerana masih ramai pemandu tidak memiliki lesen PSV?

Kerajaan telah mengumumkan pada bulan Mac lepas, kewajipan pemandu e-hailing untuk mendapatkan lesen PSV serta membuat pemeriksaan kenderaan di PUSPAKOM. Pemandu e-hailing perlu melengkapkannya sebelum 12 Julai 2019, atau mereka tidak lagi boleh memandu kenderaan mereka untuk mengambil penumpang.

Menjelang tarikh akhir 12 Julai minggu ini, membuatkan orang ramai berpusu-pusu untuk melengkapkannya. Mungkin juga sudah menjadi lumrah rakyat Malaysia suka buat perkara minit-minit akhir.

Pagi ini di pejabat Grab di Petaling Jaya, kelihatan barisan yang panjang sehingga melimpah ke luar bangunan. Kami bertanya dengan pihak Grab apa yang terjadi dan menurut mereka, ia sebahagian dari Pakej Berat Sama Dipikul.

Melalui pakej ini, Grab akan membayar balik kos pemandu untuk membolehkan mereka menjadi pemandu e-hailing yang sah selepas 12 Julai. Jika pemandu mengikut syarat-syarat yang ditetapkan, Grab akan membayar semula pemandu:

  • Kos pemeriksaan kesihatan (maksima RM20)
  • Kos pemeriksaan kereta PUSPAKOM untuk kereta berusia lebih dari 3 tahun (RM70)
  • Yuran permohonan EVP (RM110)
  • Yuran pemohonan PSV (RM20)

Selepas itu, Grab boleh membantu pemandu untuk mendapatkan lesen PSV dan Permit Kenderaan E-hailing (EVP). Pemandu hanya perlu membawa sijil pemilikan kereta ke Grab Driver Centre dan Grab akan membantu pemandu dengan permohonan EVP mereka.

Jadi, barisan pemandu yang panjang di pejabat Grab adalah kerana mereka mahu mendapatkan lesen PSV dan EVP. Tidak hairanlah memandangkan tarikh akhir untuk mendapatkan lesen PSV adalah hari Jumaat ini, maka semakin ramai pemandu yang mahu menyelesaikan pendaftaran mereka.

The Star ada melaporkan bahawa, Persatuan Pemandu E-Hailing Malaysia (MeHDA) menjangka tambang e-hailing akan meningkat dan penumpang perlu menunggu lebih lama selepas 12 Julai 2019. Ia kerana pemandu semakin berkurangan kerana masih ramai tidak bersedia dengan lesen PSV dan EVP dalam masa yang ditetapkan.

BACA  Redmi Note 8 akan tiba bersama TV Redmi 70-inci pada 29 Ogos?

Menurut Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), terdapat 167,000 pemandu e-hailing di Malaysia tetapi Kementerian Pengangkutan memaklumkan minggu lepas, hanya 16,338 pemandu yang telah menduduki ujian PSV. Dari jumlah itu, hanya 62% atau 10,151 yang lulus.

Melihatkan hanya 10,151 dari 167,000 pemandu yang telah memiliki lesen PSV dan boleh beroperasi selepas 12 Julai 2019, kenaikan harga kerana kekurangan pemandu dan masa menunggu yang lama mungkin akna dihadapi selepas 12 Julai nanti.

Melainkan semua pemandu tersebut lulus ujian PSV sebelum 12 Julai atau Kementerian Pengangkutan menangguhkan lagi pelaksanaan undang-undang ini.