fbpx

Tinggal 2 hari sebelum lesen PSV dikuatkuasakan tapi hanya 10% pemandu Grab yang lulus

Pemandu e-hailing seperti Grab, MyCar, Dacsee dan EZcar diwajibkan memiliki lesen PSV sebelum boleh memandu kenderaan untuk membawa penumpang, berkuat kuasa 12 Julai 2019. Perkara ini diumumkan oleh kerajaan Malaysia pada 27 Mac lepas dan tarikh akhirnya semakin dekat.

Untuk mendapatkan lesen ini, pemandu harus lulus pemeriksaan kesihatan, kemudian menduduki kelas selama 6-jam dan akhirnya menduduki ujian. Sudah pasti, mereka perlu lulus ujian tersebut sebelum menerima lesen PSV. Pemandu juga harus membuat pemeriksaan kenderaan di PUSPAKOM, melengkapkan peraturan yang sama antara pemandu e-hailing dan teksi.

Pemeriksaan kesihatan boleh dibuat di mana-mana klinik dan hospital. Manakala kelas 6-jam dan ujian hanya terdapat di beberapa sekolah memandu. Pemeriksaan kenderaan boleh dibuat di PUSPAKOM.

Menurut Grab, mereka memiliki 200,000 rakan pemandu yang aktif di platform mereka. Masa 3-bulan yang diberikan agak singkat untuk melengkapkan semua pemandu dengan lesen PSV. Untuk itu, Grab mencadangkan kelas online 6-jam untuk memudahkan pemandu. Kerajaan meluluskan kelas online PSV pada 17 Mei tetapi ia hanya boleh dijalankan sehinga 11 Julai sahaja.

Di samping itu, Grab turut memperkenalkan pakej Berat Sama Dipikul di mana mereka memberi subsidi kepada pemandu seperti latihan PSV percuma, pemeriksaan kesihatan percuma serta bantuan memohon lesen PSV selepas lulus ujian. Menurut Grab, mereka telah memberi sebanyak 70% subsidi kepada pemandu untuk mendapatkan lesen PSV.

Rakan pemandu beratur di pejabat Grab

Tetapi selepas semua bantuan tersebut, Grab menyatakan hanya 10% pemandu mereka yang aktif, berjaya mendapatkan lesen PSV. Beberapa aduan diberikan oleh pemandu antaranya kekangan masa kerana bekerja untuk pemandu sambilan, tempat latihan dan ujian yang terhad, serta batasan proses permohonan di pelbagai jabatan kerajaan.

BACA  Apa lagi alasan pemandu e-hailing untuk tidak memiliki lesen PSV

Statistik Grab menunjukkan, rakan pemandu Grab menyediakan perkhidmatan pengangkutan sebanyak 1 juta perjalanan setiap hari. Secara purata, setiap penumpang akan mendapat pengangkutan yang ditempah dalam masa 6 minit.

Perkara ini mungkin berubah pada 12 Julai.

Jika pemandu yang memiliki lesen PSV sahaja boleh memandu kenderaan untuk platform e-hailing, bermakna Grab akan kehilang 90% pemandu aktif. Dengan kekurangan pemandu ini akan memberi kesan kepada pengguna, antaranya masa menunggu yang lebih lama dan tambang yang sering melonjak akibat permintaan jauh melebihi bekalan iaitu pemandu.

Sementara menunggu jumlah pemandu yang memiliki lesen PSV bertambah selepas 12 Julai, Grab menasihatkan penumpang untuk merancang perjalanan mereka agar tidak jadual harian tidak terganggu. Penumpang disyorkan untuk membuat tempahan pengangkutan lebih awal dari biasa, terutamanya bagi yang mahu ke lapangan terbang dan ke mesyuarat sangat penting.

Penumpang juga digalakkan untuk mendapatkan tempahan e-hailing di luar waktu puncak iaitu antara pukul 7 pagi hingga 9 pagi, dan 5 petang hingga 8 malam. Dijangka tempahan boleh diterima lebih mudah berbanding waktu puncak tadi.

Untuk maklumat lanjut tentang peraturan baru e-hailing, anda boleh merujuk di laman Grab di sini.

Kepada semua pemandu e-hailing, lekaslah dapatkan lesen PSV agar anda boleh terus mencari rezeki di platform e-hailing menerusi undang-undang yang telah dikuatkuasakan ini demi kesejahteraan semua.

Untuk penumpang, cuba bertimbang rasa jika melihat harga tambang yang melonjak dan masa menunggu lebih lama. Anda ada pilihan untuk menggunakan pengangkutan awam atau cara pengangkutan lain dalam tempoh masa kekurangan pemandu ini. Jadilah pengguna yang bijak.