Kalau prestasi bukan perkara terpenting anda, hanya cukup makan untuk menjalankan pelbagai aplikasi, maka Vivo Y12 harus berada dalam senarai mesti beli anda. Mana tidaknya, ia menawarkan tiga kamera belakang bersama bateri mega 5,000mAh pada harga RM599 sahaja.
Vivo Malaysia baru memperkenalkan Vivo Y12 dalam dua warna, Biru dan Merah. Ia telah mula dijual di Stor Online Vivo, Pengedar Sah Vivo, serta Stor Vivo di Lazada dan Shopee. Vivo Malaysia turut memberikan hadiah percuma berupa botol air, selagi stok masih ada.
Telefon pintar Vivo Y12 datang dengan skrin LCD 6.35-inci HD+ (1544×720) bertakuk kecil di atas. Ia dikuasakan oleh pemproses Mediatek Helio P22 (MTK6762) bersama RAM 3GB dan storan 32GB. Kad mikroSD diterima untuk storan tambahan.
Tiga kamera di Vivo Y12 sememangnya satu tarikan yang hebat. Ia menggabungkan kamera utama 13MP F2.2, kamera ultra lebar 8MP F2.2 dan kamera pengesan kedalaman 2MP F2.4. Untuk kamera hadapan pula, ia menggunakan lensa 8MP F1.8.
Satu lagi paling menarik di Vivo Y12 ialah bateri 5,000mAh yang sangat besar terdapat padanya. Ia dicas melalui port mikroUSB tetapi tiada sokongan pengecas pantas.
Pengimbas capjari terdapat di belakang dan telefon ini menjalankan sistem operasi Vivo Funtouch OS9 berasaskan Android 9.0 Pie.
Selain itu, senarai spesifikasi Vivo Y12 di laman web meletakkan sokongan Wifi 2.4GHz dan 5Ghz bersama Bluetooth v5.0 padanya. Ia adalah penambahan yang besar kerana ia jarang ada di telefon pintar bajet kelas permulaan.
Selain Vivo Y12, Wiko View 3 juga menampilkan 3 kamera belakang bersama bateri 4,000mAh pada harga RM599 sahaja. Mungkin spesifikasi begini akan menjadi standard untuk peranti di bawah RM600 selepas ini.