Tak sampai seminggu lagi ASUS ROG Phone 2 akan dilancarkan dan kini rupa sebenarnya telah tersebar. Ia telah dimuat naik di weibo memberikan beberapa petunjuk tentang telefon gaming terbaru dari ASUS itu.
Gambar yang disebarkan di weibo ini hanya memperlihatkan rupa depan telefon tersebut. Ia memiliki skrin yang besar dan lebih panjang, tanpa takuk dan lubang. Ini bukan kerana ia menggunakan kamera sembunyi, sebaliknya dilihat sebagai kembali kepada cara lama iaitu bingkai yang tebal di atas dan bawah.
Bingkai tebal ini sebenarnya lebih sesuai untuk bermain game kerana ruang memegang telefon lebih luas tanpa tersentuh skrin. Selain itu, bingkai besar ini dilihat memuatkan juga dua pembesar suara stereo yang menembak bunyi terus ke muka pengguna. Ini memberikan pengalaman bunyi yang lebih nyata.
Di bingkai atas skrin ini juga kelihatan kamera hadapan yang terletak di sebelah atas kanan.
Dalam gambar yang kedua pula, menunjukkan tetapan skrin yang boleh diubah kadar segar semulanya antara 120Hz, 90Hz dan 60Hz. Dengan cara ini, pengguna boleh memilih untuk menjimatkan tenaga atau prestasi tertinggi terutama sekali ketika bermain game.
Buat masa ini, ROG Phone 2 telah disahkan akan datang dengan skrin 120Hz serta kuasa pemproses terbaru Qualcomm Snapdragon 855+. Lain-lain tentangnya akan diketahui apabila ia dilancarkan pada 23 Julai 2019 nanti.