Black Shark telah mengumumkan versi Pro bagi edisi kedua telefon pintar gaming mereka di China pada hujung bulan Julai. Khabar terbaru mengatakan ia akan tiba di Malaysia tidak lama lagi, pada minggu pertama bulan September.
Facebook Black Shark Malaysia, telah memuat naik gambar berkenaan satu acara pelancaran yang akan diadakan pada 3 September 2019, di Kuala Lumpur. Pada latar gambar ini menunjukkan bahagian belakang telefon pintar Black Shark 2.
Dengan mudah, dapat kita terjemahkan bahawa ia adalah Black Shark 2 Pro kerana ia memiliki garisan kecil berlampu di atas dan bawahnya. Garis kecil berlampu ini tidak terdapat di Black Shark 2.
Nama Pro pada peranti terbaru ini membawa sedikit peningkatan berbanding versi biasa. Black Shark 2 Pro diberi peningkatan di pemprosesnya, di mana ia menggunakan Snapdragon 855+. Ia juga menggunakan storan UFS3.0 yang lebih pantas berbanding UFS2.1.
Selain itu, ia adalah sama antara keduanya. Black Shark 2 Pro memiliki skrin AMOLED 6.39-inci HD Penuh+ tanpa takuk dan lubang. Kamera belakangnya ada dua, iaitu kamera utama 48MP F1.8 dan kamera telefoto 12MP F2.2. Baterinya sebesar 4,000mh dan ia menyokong pengecasan pantas 27W melalui USB-C.
Di China, Black Shark 2 Pro telah dijual pada harga RMB2,999 (~RM1,776) dengan RAM 12GB dan storan 128GB serta RMB3,999 (~RM2,369) dengan RAM 12GB dan storan 256GB.
Jika anda mahukan sekarang, Black Shark 2 pro versi import telah pun dijual oleh beberapa peniaga di Malaysia, seperti di Mobile 2 Go. Ia dijual pada harga RM2,298 untuk storan 128GB dan RM2,598 dengan storan 256GB.
Jika mahukan telefon pintar gaming yang lebih berkuasa, ASUS ROG Phone 2 dijangka akan tiba di Malaysia pada hujung bulan September. Tetapi harganya juga pasti lebih mahal, berbanding Black Shark 2 Pro nanti.