Bagi mempersiapkan rangkaian 5G di Malaysia, Maxis memeterai perjanjian bersama Huawei sebagai rakan kongsi jangka panjang serta melancarkan 5G di Malaysia. Ia adalah langkah yang signifikan buat Maxis untuk menyediakan kesalinghubungan yang terunggul di Malaysia.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut tersebut telah disaksikan oleh YAB Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Gokhan Ogut, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, manakala Huawei diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Michael Yuan.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian tersebut, Huawei akan membekalkan peralatan dan perkhidmatan radio 4G/LTE dan 5G. Selain mendapat akses kepada teknologi 5G, Maxis dapat memodenkan rangkaian LTEnya untuk menjadi sedia 5G. Dengan memanfaatkan pelaburan dan rangkaian sedia ada, Maxis dapat mempercepatkan pelancaran perkhidmatan 5G apabila spektrum diagihkan kelak.
Di samping itu, Maxis akan mempunyai akses kepada pemahaman, piawaian, produk dan penyelesaian yang menjadikan 5G lebih mudah untuk dilaksanakan dan beroperasi, serta memperkenalkan kes-kes penggunaan baru di Malaysia. Huawei juga akan membentuk sebuah kumpulan pakar untuk menyokong Maxis dalam siri program latihan teknikal mengenai perancangan, operasi dan penyelenggaraan rangkaian 5G.
YAB Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia berkata, “Impak dari teknologi canggih dalam melonjak kemajuan negara adalah nyata dan kita tidak mahu ketinggalan, terutama sekali dengan era Industri 4.0 sekarang. Tidak ada keraguan bahawa 5G akan menjadi pemacu utama untuk menghubungkan semuarakyat di Malaysia dan mengubah industri utama seperti pembuatan, pertanian dan penjagaan kesihatan supaya kita dapat terus berdaya saing di peringkat global. Berikutan itu, kerjasama antara pemain global dan vendor tempatan adalah penting untuk membina ekosistem teknologi yang berkembang maju di Malaysia. Saya gembira Maxis dan Huawei memanfaatkan persekitaran ini dan menyokong pertumbuhan ekonomi digital Malaysia.”
Maxis dan Huawei telah bekerjasama selama lebih 10 tahun dalam bidang rangkaian. Perjanjian ini adalah satu lagi sokongan berterusan Huawei untuk menjadikan Maxis peneraju rangkaian yang terkemuka di Malaysia. Huawei turut menjadi penyedia rangkaian 5G bersama pelbagai syarikat telekomunikasi di seluruh dunia.