Bukan kali pertama dan bukan juga kali kedua Apple dilihat menurut telunjuk pemerintah China. Sebelum ini, Apple telah mengeluarkan emoji bendera Taiwan dari telefon pintar iPhone. Kemudian mereka telah membuang aplikasi peta Hong Kong dari AppStore.
Terbaru Apple dilaporkan menghantar maklumat pelayar pengguna termasuk alamat IP, kepada syarikat Tencent Holdings Ltd, yang mempunyai kaitan rapat dengan kerajaan China. Ia terdapat dalam kemaskini terbaru iOS, di mana fungsi Safe Browsing yang digunakan sejak sekian lama, akan turut merekodkan alamat IP pengguna.
Apple telah menggunakan fungsi Safe Browsing sebagai langkah keselamatan yang memberikan amaran jika pengguna melawat laman web yang tidak selamat. Senarai laman web Safe Browsing diuruskan oleh Tencent di China dan Google di negara lain.
Dalam kemaskini terbaru iOS, Apple menambah keterangan tentang fungsi Safe Browsing yang menyatakan, ia akan turut merekodkan alamat IP pengguna. Langkah ini dikecam kerana Apple tidak memberitahu dengan jelas kepada pengguna, sebaliknya hanya mengemaskini keterangan yang berjela-jela panjangnya.
Bertambah tragis lagi, pengguna gusar jika maklumat pengguna di luar China akan turut dihantar kepada Tencent kerana keterangan di dalam kemaskini turut menyebut, Tencent akan turut menerima maklumat pengguna iPhone di luar China.
Apple menjawab kegusaran ini, menyatakan fungsi Safe Browsing melindungi maklumat peribadi pengguna. Semakan senarai laman web dibuat di peranti dan laman web yang dilawati pengguna tidak dikongsi dengan Tencent dan Google. Secara lalai, fungsi ini dihidupkan tetapi ia boleh dimatikan. Alamat IP pengguna akan dikongsi apabila laman web yang merbahaya dikesan dan amaran akan dihantar kepada pengguna.
Jika anda mahu mematikan fungsi Safe Browsing, ia boleh ditemui di dalam Settings > Safari >Privacy & Security, dan mematikan pilihan Fraudulent Website Warning. Tetapi jika ia dimatikan, pengguna tidak akan menerima amaran jika melayari laman web yang merbahaya.
Sumber: The Star