Siri Huawei Mate 30 akan dibuka jualannya kepada umum di Malaysia tanpa perlukan kod rujukan, bermula 15 November 2019. Salah satu cara untuk memilikinya dengan mudah ialah melalui ansuran mudah yang boleh didapati menerusi program Digi PhoneFreedom 365.
Digi telah mula membuka tempahan awal siri Huawei Mate 30 hari ini. Dengan PhoneFreedom 365, pengguna tidak perlu mengeluarkan wang yang banyak sebagai deposit seperti pelan pacabayar biasa, sebaliknya tiada wang deposit dikenakan untuk yang layak dan ia boleh dibayar secara ansuran bulanan selama 24 bulan.
Khas untuk 250 pelanggan pertama yang membuat tempahan awal, mereka akan menerima hadiah percuma bernilai RM656 berupa pengecas kereta Huawei SuperCharge Wireless Car Charger, casing dan jaminan Huawei Care yang memberikan jaminan tambahan tahun kedua serta perlindungan keretakan skrin selama 6 bulan.
Untuk Huawei Mate 30 dengan RAM 8GB dan storan 128GB yang berharga RM2,799, ia boleh dimiliki melalui Digi PhoneFreedom 365 dari serendah RM168 sebulan bersama pelan Digi Postpaid 80 + Gboost. Pelan ini memberikan 30GB data, panggilan tanpa had dan 100GB data YouTube. RM168 ini ialah bayaran untuk telefon dan pelan, tidak termasuk cukai.
Manakala Huawei Mate 30 Pro yang memiliki RAM 8GB dan storan 256GB berharga RM3,899, ia boleh dimiliki dari serendah RM249 sebulan bersama pelan Digi Postpaid 120. Pelan ini memberikan 80GB data dan panggilan tanpa had.
Kepada yang berminat, boleh mendapatkan tawaran Huawei Mate 30 dan Mate 30 Pro bersama Digi PhoneFreedom 365 di Stor Digi berdekatan. Tempahan awal dibuka sehingga 13 November 2019. Peranti boleh diambil bermula dari 15 November 2019.
Menurut laman web Digi, peranti ini akan disertakan pelan perlindungan Digi Shield selama 24-bulan jika didaftarkan bersama pelan Digi Postpaid 160 atau 190. Digi juga menjelaskan, Mate 30 dan Mate 30 Pro datang bersama Huawei Mobile Services dan tidak memiliki Google Mobile Services di dalamnya.