Togather Island, sebuah permainan video 100% buatan Malaysia kini telah membuka akses awal di platform Steam. Akses awal ini membenarkan pengguna bermain permainan ini sekarang sebelum dilancarkan, tetapi mungkin berdepan pepijat dan permainan tidak lengkap.
Menurut pembangunan Togather Island iaitu Studio Kamii dan Todak Studios, akses awal ini dibuka sekarang untuk memberi peluang orang ramai mencuba sambil memberi maklumbalas semasa pembangunan masih berjalan. Permainan ini telah dipertonton di banyak Konvensyen Permainan dan pembangun telah menerima banyak maklumbalas yang membina. Kerana itu, akses awal ini dibuka agar permainan ini boleh dihasilkan dengan lebih sempurna hasil maklumbalas.
Togather Island telah dibangunkan selama setahun dan pembangun merancang untuk menyiapkannya dalam masa 6 bulan ke 1 tahun dari tarikh akses awal dibuka. Buat masa ini, permainan pengembaraan survival di dunia fantasi sains terbuka ini hanya terhad di pulau utama dengan jalan cerita dan musuh berkaitan di pulau ini shaaja.
Pemain hanya boleh bermain dalam mod cerita Single Player bagi memperkenalkan pemain dengan watak penting dan suasana dunia, iaitu bab pertama permainan. Pemain boleh mengumpul barang, mencipta, memasak, berlawan dan menyelesaikan misi di pulau utama. Kandungan dan peta akan ditambah dari semasa ke semasa.
Pembangun juga menjanjikan harga lebih murah semasa akses awal dan mungkin dinaikkan sedikit demi sedikit semasa kandungan diluaskan dan skop permainan menjadi lebih besar. Ia seperti menyumbang di peringkat awal di Kickstarter di mana pembeli terawal akan mendapat dengan harga murah. Tetapi ia datang dengan risiko ia mungkin tidak siap.
Jika anda berminat untuk menyokong pembangun permainan dari Malaysia ini, akses awal Togather Island boleh dibeli pada harga RM32 sekarang di Steam. Peminat Minecraft harus mencuba permainan ini kerana ia berkongsi banyak persamaan dengan Minecraft.
Dapatkan maklumat terkini tentang Togather Island di laman web Studio Kamii serta ikuti mereka di Facebook Togather Island.