Komputer Apple Mac Pro yang terbaru adalah komputer Apple paling berkuasa masa kini dan mereka telah menciptanya dengan pelbagai perkakas modular, menjadikannya mudah dinaiktaraf dan dibaiki. Perkara ini diuji oleh pasukan di iFixit yang membeli satu unit Mac Pro dengan spesfikasi asas. Mereka memberi markah 9/10 untuk dibaiki. Tambah mereka lagi, ini adalah komputer Mac paling senang dibaiki sejakk 2006.
Tidak seperti kebanyakan produk Apple termasuk Mac Pro 2013 “Tong Sampah”, membuka penutup Mac Pro baru ini sangat mudah, hanya tarik keluar penutup aluminium dengan sedikit pusingan dan mengangkat pemegang. Tiada perkakas pelik diperlukan malah ia boleh dibaiki tanpa sebarang perkakas langsung.
Kebanyakan komponen di dalamnya adalah modular dan menggunakan soket dan sambungan standard. Lebih baik lagi, Apple turut meletakkan diagram di dalam yang memberitahu cara memasang RAM mengikut jumlah batang yang ada.
Mac Pro asas datang dengan RAM DDR ECC 32GB dan boleh ditambah sehingga 1.5TB menggunakan 12 x 128GB RAM. Memaksimakan naik taraf RAM ini ke 1.5TB memerlukan bayaran tambahan sebanyak RM110,000.
Storan SSD juga sangat mudah dikeluarkan tetapi ia tidak boleh diganti begitu sahaja. Ini kerana ia dipasang dengan cip keselamatan Apple T2. Bermakna, untuk meluaskan storan, anda perlu membelinya melalui pengedar sah Apple.
Satu lagi perkara yang perlu diambil maklum, butang kuasa komputer ini disambungkan secara pin Pogo. Jadi, apabila penutup dibuka, komputer akan terpadam. Jadi ia tidak boleh dijalankan tanpa penutup aluminiumnya dipasang.
iFixit merumuskan, Mac Pro yang baru ini adalah satu keajaiban yang menawan yang disusun dengan sangat baik. Malah ia juga di dalam kelas perdana untuk diperbaiki. Mereka sangat suka bagaimana ia sangat mudah dibuka tanpa perkakas manakala panduan, manual membaiki dan video yang disediakan sangat membantu. Hanya storan SSD yang sedikit sukar untuk ditukar tetapi secara keseluruhan, sesiapa sahaja boleh membaiknya sendiri di rumah.
Baca laporan penuh iFixit berkenaan Apple Mac Pro terbaru di sini.