Jumlah hari semenjak PKP dilaksanakan

HARI

PKP bermula pada: 18 Mac, 2020

PKPP dijangka tamat dalam

HARI

PKPP dijangka ditamatkan pada 31 Dec, 2020

Ikuti liputan COVID‑19 kami di sini

Apple Mac Pro tiba di Malaysia dengan harga maksima jauh lebih tinggi dari gaji setahun saya dan anda

Kuasa super komputer terbaru dari Apple, Mac Pro kini telah dijual di Stor Online Apple Malaysia. Komputer Apple yang paling berkuasa ini dijual dengan harga bermula dari RM25,999, harga yang sama dengan laptop Apple paling berkuasa, MacBook Pro 16″ dengan RAM 64GB dan storan SSD 8TB.

Sudah pasti, Apple memberi banyak pilihan untuk memberi lebih kuasa kepada Mac Pro yang baru ini. Ia boleh dinaik taraf pemproses, RAM lebih besar, storan lebih luas, grafik lebih perkasa malah boleh ditambah kad Apple Afterburner. Dengan semua pilihan dimaksimakan, ia menjadikan Mac Pro ini berharga RM231,608.

Mari kita lihat bagaimana harga ini boleh menjadi hampir 10x ganda dari harga asasnya. Pertama sekali naik taraf pemproses dari Intel Xeon W 8-teras 3.5GHz (Turbo Boost ke 4.0GHz) kepada Intel Xeon W 28-teras 3.5GHz (Turbo Boost ke 4.4GHz) memerlukan tambahan wang sebanyak RM30,800. Menggandakan teras dari 8 kepada 28 menjadikannya amat mahal. Tapi jangan terkejut dahulu sebelum tengok pada RAM nanti.

Spesifikasi asas komputer ini didatangkan dengan RAM DDR4 ECC 32GB dan boleh diperbesarkan ke 1.5TB, dengan tambahan harga RM110,000. Ini memberikan pengguna RAM 128GB sebanyak 12 batang. Harga RAM ini sahaja sudah boleh membeli sebuah kereta Proton X70 yang baru.

Bagi storan, ia memberikan pilihan untuk diluaskan ke 8TB tetapi masih belum boleh dibeli sekarang. Buat masa ini ia boleh ditukarkan ke SSD 4TB yang memerlukan wang tambahan sebanyak RM6,160 sahaja.

Di bahagian grafik, pengguna boleh memilih sehingga dua kad AMD Radeon Pro Vega II Duo yang memiliki 2x RAM HBM2 32GB dengan tambahan RM47,520. Untuk memberikan prestasi lebih tinggi dalam penghasilan video, penambahan kad Apple Afterburner boleh dimiliki dengan harga RM8,800.

BACA  Apple Watch SE ganti tempat series 5 dengan harga lebih murah

Selain prestasi, pengguna juga boleh menaik taraf luaran komputer ini. Secara lalai, ia didatangkan dengan kaki statik yang menyokong perumah komputer. Tetapi ia boleh ditukar kepada roda pada harga RM1,760.

Selain itu, pembeli juga akan menerima tetikus Magic Mouse 2 dan papan kekunci Magic Keyboard 2 bersama pembelian asas. Aksesori tambahan Magic Trackpad 2 boleh dibeli bersama berharga RM569. Jumlah harga RM231,608 ini bagaimanapun tidak melibatkan sebarang tambahan perisian atau aplikasi, hanya perkakas.

Tetapi tunggu dulu. Pembelian ini juga tidak didatangkan bersama monitor. Benar, RM231,608 tanpa monitor. Jika anda mahukan skrin bergred profesional penuh bergaya untuk dipadankan dengan komputer dengan rekaan pemarut keju ini, Apple mencadangkan pembeli untuk mendapatkan monitor Apple Pro Display XDR yang berharga RM19,999 untuk kaca biasa, atau RM25,999 dengan kaca bertekstur nano yang memberikannya kemasan matte yang mengurangkan silau. Monitor ini memiliki saiz skrin 32-inci dengan resolusi 6K dan menyokong warna P3 dan 10-bit. Menurut Apple, ini ialah paparan Retina paling besar mereka.

Seperkara lagi, monitor ini tidak memiliki pemegang. Ia dijual berasingan yang boleh mengubah ketinggian dan putaran, pada harga tambahan RM4,499. Jika tidak mahukan pemegang ini, monitor ini juga boleh dipasang di mana-mana pemegang yang serasi VESA tetapi masih perlu membeli VESA Mount Adapter berharga RM899.

Jadi, jika semua pilihan termasuk monitor dan pemegangnya diambil kira, ia menjadikan jumlah harga Apple Mac Pro ini kepada RM262,106. Penghantaran pula dijangka sekitar 6 ke 7 minggu.

Dari apa yang kami lihat, pilihan bayaran hanyalah menggunakan kad kredit, tiada bayaran ansuran atau pembayaran pelbagai kad disediakan. Bermakna, kena ada kad dengan had kredit yang sangat tinggi. Ia bukannya sesuatu yang mustahil kerana bekas perdana menteri Malaysia pernah berbelanja RM3.3 juta menggunakan dua kad kredit dalam sehari. Nasib baik, penghantaran tidak dikenakan sebarang caj.

BACA  Gambar terbocor iPhone 12 ada kamera berbeza dari iPhone 11

Jika anda berminat untuk mencuci mata atau membeli-belah secara tingkap terlebih dahulu, boleh layari Stor Online Apple Malaysia sekarang. Memang komputer ini sangat mahal harganya tetapi ia pastinya berbaloi untuk mereka yang perlukan kuasa sehebat ini bagi membuat projek kerja berkos tinggi. Tetapi kerja jenis apa agaknya, siapa yang tahu boleh kongsikan dalam ruangan komen di bawah.