Samsung Malaysia telah berteka-teki tentang kedatangan model baru siri-A mereka, iaitu Galaxy A51 dan Galaxy A71. Pasti ramai telah menonton video muzik Awesome Screen, Awesome Camera, Long Lasting Battery yang turut menampilkan artis korea popular, BlackPink.
Kini Samsung Malaysia memecahkan penantian ini dengan mengumumkan tempahan awal untuk Galaxy A51 dan Galaxy A71. Sudah pasti, hadiah istimewa menanti pembeli yang membuat tempahan awal.
Galaxy A51 dan Galaxy A71 boleh ditempah dari 3 hingga 5 Februari 2020 menerusi laman khas tempahan awal Samsung Malaysia. Pembelian dalam tempoh ini, akan menerima hadiah percuma berupa jaminan tambahan tahun kedua serta satu kali perlindungan keretakan skrin.
Galaxy A51 akan dijual di Malaysia pada harga RM1,299 dengan tiga warna pilihan iaitu Hitam, Putih dan Biru. Galaxy A71 pula akan dijual pada harga RM1,799 juga dengan tiga warna boleh dipilih antara Hitam, Perak dan Biru.
Kepada yang berminat untuk menempah, layari laman tempahan Galaxy A51 dan Galaxy A71 bermula 3 Februari 2020. Tempahan ini akan dihantar dari 7 Februari 2020.
Samsung Galaxy A51
Pengganti kepada Galaxy A50s ini dikenali sebagai Galaxy A51. Ia kini memiliki skrin lebih besar berukuran 6.5-inci dengan lubang di atas yang memuatkan kamera depan. Skrin ini masih dari jenis Super AMOLED dengan resolusi HD penuh. Pengimbas capjari turut terdapat dapat skrin ini.
Galaxy A51 menggunakan pemproses Exynos 9611 yang sama dengan Galaxy A50s. RAM di dalamnya 6GB dan storan pula 128GB. Slot kad mikroSD tersedia untuk meluaskan lagi ruang storan.
Badan belakangnya dilihat mengekalkan kemasan prisma yang sama dengan Galaxy A50s. Tetapi ruang kamera kini lebih besar kerana ia memiliki 4 kamera belakang yang disusun dalam bentuk L.
4 kamera tersebut ialah kamera utama 48MP F2.0, kamera ultra lebar 12MP F2.2, kamera makro 5MP dan kamera potret 5MP. Kamera hadapan yang terletak di dalam lubang di atas skrin pula 32MP F2.2.
Bateri sebesar 4,000mAh terdapat di dalamnya dan ia menyokong pengecasan pantas 15W melalui USB-C.
Samsung Galaxy A71
Telefon ini memiliki skrin lebih besar dari Galaxy A51, berukuran 6.7-inci dari jenis Super AMOLED HD Penuh. Ia juga memiliki lubang di atas skrin, memuatkan kamera depan 32MP.
Ia menggunakan kuasa pemproses Snapdragon 730 dan dipadankan dengan RAM sebanyak 8GB dan storan 128GB. Kad mikroSD diterima untuk meluaskan storan sehingga 512GB.
Badan belakangnya sama, menggunakan kemasan prisma dan ia juga turut memiliki 4 kamera belakang tetapi sedikit berbeza spesifikasi. Kamera belakang ini ialah kamera utama 64MP F1.8, kamera ultra lebar 12MP F2.2, kamera potret 5MP F2.2 dan kamera makro 5MP F2.4.
Baterinya juga lebih besar, berkapasiti 4,500mAh dan menyokong pengecasan pantas 25W melalui USB-C. Tiada pengecasan wayarles padanya tetapi ia menyokong fungsi pembayaran Samsung Pay.