Selepas lebih setahun, akhirnya Poco melancarkan model kedua telefon pintar mereka, Poco X2. Sekali lagi, ia dilancarkan pertama kali di India sebelum menuju ke pasaran lain di seluruh dunia.
Tetapi seperti yang telah dijangka, Poco X2 adalah telefon pintar yang sama dengan Redmi K30 yang telah dilancarkan di China tahun lepas. Pendek kata, boleh dikatakan Poco X2 adalah versi global bagi Redmi K30. Bukan versi 5G, tetapi Redmi K30 4G.
Berbeza dengan Pocophone F1 yang menggegarkan dunia dengan peranti flagship termurah, Poco X2 menampilkan pemproses kelas pertengahan padanya. Ia dikuasakan cip Snapdragon 730G dengan sistem penyejukan cecair, bersama RAM sehingga 8GB dan storan sehingga 256GB. Slot mikroSD hibrid sedia menerima storan tambahan jika perlu.
Skrinnya diberi gelaran Reality Flow, kali ini tampil dengan ukuran 6.67-inci dari jenis LCD, dengan refresh rate setinggi 120Hz. Skrin ini tidak memiliki takuk, sebaliknya menggunakan lubang untuk menempatkan kamera hadapan. Disebabkan skrin LCD, ia tiada pengimbas capjari di dalam skrin, sebaliknya menggunakan pengimbas capjari di sisi yang bergabung dengan butang kuasa.
Terdapat enam kamera di telefon ini, empat di belakang dan dua di hadapan. Kamera hadapannya ialah kamera utama 20MP dan kamera pengesan kedalaman 2MP. Kamera belakang pula gabungan kamera utama 64MP F1.9 yang menggunakan sensor Sony IMX686, bersama kamera ultra lebar 8MP F2.2, kamera super makro 5MP F2.4 dan kamera pengesan kedalaman 2MP F2.4. Poco memaklumkan, kamera ini boleh mengambil gambar dalam format RAW, serta video super gerak perlahan 960fps.
Bateri yang lebih besar kini terdapat di Poco X2. Ia dibekalkan bateri 4,500mAh dan menyokong pengecasan pantas 27W. Pengguna tidak perlu membeli kepala pengecasan pantas kerana Poco menyediakannya bersama di dalam kotak.
Lain-lain ciri menarik yang masih ada di Poco X2 adalah seperti jek audio 3.5mm, pemancar infra merah, WiFi 802.11ac, Bluetooth v5.1 serta NFC. Ada tiga warna disediakan untuk Poco X2 iaitu ungu, biru dan merah.
Poco X2 akan dijual di India bermula 11 Februari 2020. Terdapta beberapa variasi akan dijual dengan harga jualannya seperti berikut:
- Poco X2 (RAM 6GB + Storan 64GB) – INR15,999 (~RM925)
- Poco X2 (RAM 6GB + Storan 128GB) – INR16,999 (~RM983)
- Poco X2 (RAM 8GB + Storan 256GB) – INR19,999 (~RM1,156)
Tiada perkhabaran bilakah ia akan dijual di pasaran selain India. Semasa Pocophone F1 dilancarkan dahulu, ia mengambil masa dua bulan untuk dilancarkan di Malaysia. Untuk harga pula, tolak tambah cukai, kami jangkakan ia lebih mahal sekitar RM100 dari harga India. Mungkinkah ia benar?
Menariknya, telefon berkuasa Snapdragon 730G yang ada dijual di Malaysia ialah Mi Note 10 (RM2,099), Samsung Galaxy A71 (RM1,899) dan Oppo Reno2 (RM2,299). Bermakna, Poco X2 tiada tandingan jika ia diberikan tanda harga di bawah RM1,000.