Bertempat di China, Xiaomi hari ini melancarkan telefon flagship mereka, Mi 10 dan Mi 10 Pro. Bagaimanapun, majlis pelancaran ini dibuat secara kecil-kecilan dan dipancarkan secara strim siaran langsung untuk mengelakkan penyebaran wabak COVID-19.
Dari hadapan, Mi 10 dan Mi 10 Pro berkongsi rupa dan spesifikasi yang sama. Tetapi berbeza pula cerita di dalam dan di belakangnya.
Mi 10 Pro
Dengan nama Pro, ia menandakan ini adalah peranti yang lebih perkasa. Tetapi ia menggunakan kuasa pemproses yang sama. Mi 10 Pro dikuasakan oleh pemproses Snapdragon 865 5G, bersama RAM serba baru LPDDR5 sehingga 12GB dan storan UFS3.0 sehingga 512GB. Ia menyokong rangkaian 5G dwi-mod, SA dan NSA.
Skrinnya berukuran 6.67-inci dari jenis AMOLED, melengkung di sisi dan berlubang di atas untuk memuatkan kamera hadapan. Skrin ini juga memiliki resfresh rate 90Hz bersama kadar sampling 180Hz. Resolusinya HD Penuh dan ia memiliki tahap kecerahan setinggi 800nit dan nisbah kontras 5,000,000:1. Skrin ini juga menyokong HDR10+ dan dilapisi kaca Corning Gorilla Glass 5. Pengimbas capjari turut terdapat di dalam skrin ini.
Tenaga Mi 10 Pro disalurkan dari bateri berkapasiti 4,500mAh. Telefon ini menyokong pengecasan pantas 50W melalui USB-C dan pengecasan wayarles 30W. Menariknya, Xiaomi memberikan kepala pengecas 65W di dalam kotak, dinyatakan untuk membolehkan pengguna mengecas laptop menggunakan kepala pengecas tersebut.
Kamera di belakang Mi 10 sebenarnya serupa dengan Mi Note 10. Ia memiliki kamera utama 108MP F1.69 dengan saiz sensor besar 1/1.33″ dan 8 lapisan elemen optikal (8P), bersama penstabil OIS. Ia digandingkan dengan kamera telefoto 8MP F2.0 juga dengan OIS dan keupayaan zum hibrid optikal 10x.
Kamera ketiga ialah kamera potret 12MP F2.0, berkeupayaan zum optikal 2x. Kamera keempatnya ialah kamera ultra lebar 20MP F2.2 dengan bukaan selebar 117-darjah. Satu yang berbeza dengan Mi Note 10 ialah ketiadaan kamera kelima.
Dengan empat kamera belakang ini, Mi 10 Pro berupaya mengezum secara hibrid optikal 10x dan zum digital sehingga 50x. Ia juga boleh merakam video 8K 30fps, 4K 60fps dan 1080p sehingga 960fps. Untuk kamera hadapan pula, ia menggunakan kamera 20 MP yang boleh merakam video sehingga 1080p sahaja.
Mi 10 Pro sudah tidak memiliki jek audio 3.5mm tetapi kini ia menampilkan pembesar suara stereo yang sebenar. Ia tidak menggunakan pembesar suara panggilan di atas tetapi dipasang di bahagian atas telefon. Pemancar infra merah turut ada di telefon ini.
Mi 10
Secara kasar, Mi 10 memiliki kuasa yang hampir sama. Ia dikuasakan oleh pemproses Snapdragon 865 5G, bersama RAM LPDDR5 sehingga 12GB dan storan UFS3.0 sehingga 256GB. Ia menyokong rangkaian 5G dwi-mod, SA dan NSA.
Skrinnya juga sama, 6.67-inci melengkung di sisi dan berlubang, serta refresh rate 90hz dan kadar sampling 180Hz. Resolusinya HD Penuh dan ia dilapisi kaca Corning Gorilla Glass 5. Pengimbas capjari turut terdapat di dalam skrin ini.
Bateri dan pengecas Mi 10 sedikit berbeza dari Pro. Bateri di dalamnya lebih besar, 4,780mAh tetapi menyokong pengecasan pantas sehingga 30W. Ia juga menyokong pengecasan wayarles 30W.
Perbezaan terbesar ialah di kamera. Kamera utamanya ialah kamera 108MP F1.69 dengan saiz sensor besar 1/1.33″ dan 7 lapisan elemen optikal (7P), bersama penstabil OIS. Hanya ini yang sama.
Kamera ultra lebarnya 13MP F2.4 dan ia tiada kamera telefoto. Ia digantikan dengan kamera potret 2MP F2.4 serta kamera makro F2.4. Ia masih boleh merakam video 8K 30fps, 4K 60fps dan 1080p sehingga 60fps sahaja. Untuk kamera hadapan pula, ia menggunakan kamera 20 MP.
Jek audio 3.5mm juga tiada di Mi 10 tetapi ia menggunakan pembesar suara stereo yang sama. Terdapat juga pemancar infra merah di atas telefon.
Harga dan tarikh jualan
Kedua-dua model Mi 10 dan Mi 10 Pro akan dijual di China bermula 14 Februari 2020. Harganya pula melonjak jauh lebih tinggi berbanding Mi 9 ketika dilancarkan tahun lepas. Mi 10 dijual pada harga bermula RMB3,999 (~RM2,372) berbanding Mi 9 dari RMB2,999 (~RM1,778) sahaja. Senarai penuh harga Mi 10 dan Mi 10 Pro adalah seperti berikut:
- Mi 10 (RAM 8GB + Storan 128GB) – RMB3,999 (~RM2,372)
- Mi 10 (RAM 8GB + Storan 256GB) – RMB4,299 (~RM2,550)
- Mi 10 (RAM 12GB + Storan 256GB) – RMB4,699 (~RM2,787)
- Mi 10 Pro (RAM 8GB + Storan 256GB) – RMB4,999 (~RM2,965)
- Mi 10 Pro (RAM 12GB + Storan 256GB) – RMB5,499 (~RM3,261)
- Mi 10 Pro (RAM 12GB + Storan 512GB) – RMB5,999 (~RM3,558)
Untuk meneliti harga yang mungkin apabila dijual di Malaysia, kita boleh membandingkan dari jualan Mi 9. Mi 9 dilancarkan di Malaysia berharga RM1,999 dengan RAM 6GB dan storan 128GB. Di China, ia dijual pada harga RMB2,999 (~RM1,778) dengan RAM dan storan yang sama. Secara kasar, perbezaan harga sekitar RM200 apabila tiba di Malaysia.
Jadi, anggaran kami tentang harga Mi 10 dan Mi 10 Pro apabila dijual di Malaysia adalah:
- Mi 10 (RAM 8GB + Storan 128GB) ~RM2,599
- Mi 10 Pro (RAM 8GB + Storan 256GB) ~RM3,199
Jika benar tekaan ini, bermakna ia akan menjadi telefon pintar Xiaomi paling mahal dijual di Malaysia. Adakah anda rasakan harga ini sesuai dengan keupayaan Mi 10 dan Mi1 10 Pro yang kini menerima banyak naik taraf berbanding dahulu?