Bagi memberikan lebih perlindungan dari tawaran sedia ada, Grab hari ini mengumumkan pelan perlindungan Ride Cover untuk penumpang Grab Car. Ia bukan sahaja melindungi pengguna akibat kemalangan, tetapi turut memastikan pengguna mendapat tempahan dalam masa yang ditetapkan.
Ride Cover ditawarkan kepada pengguna Grab Car, dengan tambahan hanya RM0.35 untuk setiap perjalanan. Pelan ini memberi pengguna jaminan tiada kelewatan 100%, di mana jika pemandu tidak tiba 15 minit selepas masa ditetapkan, pengguna akan menerima baucer Grab RM5.
Ride Cover juga memberikan perlindungan kemalangan yang lebih tinggi dari biasa. Sehingga RM100,000 perlindungan kemalangan diri akan diberikan jika pengguna terlibat di dalam kemalangan maut atau cacat kekal. Perlindungan ini meliputi semua penumpang bersama ahli keluarga terdekat yang turut sama di dalam kenderaan.
Jika mahu mendaftar Ride Cover, pengguna yang layak akan memiliki butang Insurance di laman utama. Klik padanya dan pilih ‘Opt In Now‘ untuk mula dilindungi oleh Ride Cover. Selepas diaktfikan, pengguna akan dicaj RM0.35 untuk setiap perjalanan selepas itu.
Perlu diambil perhatian, Ride Cover hanya melindungi penumpang Grab Car, ia tidak disediakan untuk perkhidmatan GrabShare, GrabRent dan GrabBike. Ia juga disediakan untuk perjalanan yang membuat bayaran menggunakan GrabPay sahaja.
Jangan risau jika anda masih tidak layak menggunakan Ride Cover. Ini kerana Insuran Kemalangan Diri Grab tanpa sebarang caj, melindungi semua penumpang Grab dari tempat diambil sehingga sampai ke lokasi dihantar. Jika berlaku kemalangan maut atau kecacatan kekal, penumpang akan diberikan sehingga RM40,000 dan bantuan perubatan sehingga RM2,000.
Untuk maklumat lanjut berkenaan promosi baru ini, layari laman web Grab Ride Cover.