Dalam usaha membantu rakyat menghadapi kesan COVID-19 di negara ini, kerajaan mengumumkan bahawa peminjam di bank boleh melakukan penangguhan bayaran balik serta penstrukturan semula pinjaman bank bermula 1 April 2020.
Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bank-bank tempatan akan menawarkan moratorium atau penangguhan bayaran balik sehingga enam bulan kepada peminjam individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Langkah ini membenarkan penangguhan dilakukan untuk:
- Pinjaman bagi semua hutang termasuk pinjaman perumahan dan kereta.
- Pinjaman perniagaan bagi PKS.
Pemegang kad kredit pula boleh memilih untuk menukar baki kad kredit kepada pinjaman berjangka. Pihak bank akan menawarkan pelan pembayaran secara berperingkat selama tiga tahun. Fleksibiliti penangguhan pembayaran balik kad kredit ini boleh dimanfaatkan oleh peminjam dari 1 April sehingga 31 Disember 2020.
Tambahnya, bagi sektor korporat, rundingan boleh dilakukan dengan pihak bank untuk menyusun semula pembayaran balik yang sesuai dengan keadaan perniagaan mereka.
Muhyiddin juga telah meminta Kementerian Kewangan dan BNM untuk memperincikan pengumuman ini dengan lebih mendalam. Ia bagi memudahkan rakyat memahami sepenuhnya manfaat yang ditawarkan.
Berdasarkan laporan Astro Awani sebelum ini, penangguhan berkenaan bersifat automatik. Ia akan terpakai kepada pinjaman dalam Ringgit Malaysia (RM) dan bagi hutang yang tidak tertangguh melebihi 90 hari pada 1 April.Bank Negara juga telah menyerahkan dokumen penangguhan pinjaman dan penstrukturan bayaran berkenaan kepada bank-bank di Malaysia.
Orang ramai juga diminta untuk merujuk dengan pihak bank bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Sumber: Astro Awani, BNM