Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini kembali bersiaran langsung di media arus perdana bagi membentangkan Pakej Prihatin Tambahan (PPT). Pakej ini disasarkan khusus buat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), yang dilihat kurang menerima bantuan semasa pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin sebelum ini.
Di bawah inisiatif tambahan ini, semua syarikat dengan pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah akan menerima bantuan subsidi upah seperti berikut:
- Pekerja lebih 200 orang – syarikat layak menerima subsidi upah sebanyak RM600 untuk setiap pekerja yang dikekalkan. Bilangan maksimum pekerja yang layak menerima subsidi hanyalah sebanyak 200 orang.
- Pekerja antara 76 ke 200 orang – syarikat layak menerima subsidi upah sebanyak RM800 bagi setiap pekerja.
- Pekerja 75 orang dan kurang – syarikat layak menerima subsidi upah sebanyak RM1,200 bagi setiap pekerja.
Bantuan subsidi upah ini akan diberikan selama 3 bulan. Ia juga diberikan hanya untuk syarikat yang telah berdaftar dengan SSM atau pihak berkuasa tempatan, sebelum 1 Januari 2020. Syarikat juga mestilah telah berdaftar dengan PERKESO.
Majikan yang memilih untuk menerima bantuan subsidi upah ini, haruslah memenuhi syarat iaitu mengekalkan pekerja bagi tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan. 3 bulan semasa menerima subsidi upad dan 3 bulan lagi selepas itu.
Sumber: Astro Awani