Huawei Jerman baru-baru ini telah melancarkan ahli baru untuk siri P30, dikenali sebagai Huawei P30 Pro New Edition. Langkah ini dilihat untuk memberi pilihan baru kepada pengguna sambil mengekalkan penggunaan aplikasi Google di dalamnya. Huawei P30 adalah model flagship terakhir Huawei yang menerima kebenaran menggunakan Google, sebelum ia disekat oleh Amerika Syarikat.
Secara ringkas, segala perkara di Huawei P30 Pro New Edition adalah sama dengan Huawei P30 Pro sebelum ini. Perbezaan luaran boleh dilihat menerusi pengenalan warna baru, Silver Frost yang serupa ada di Huawei P40 Pro.
Kuasa dalaman peranti baru ini digerakkan oleh pemproses Kirin 980 dan dipadankan dengan RAM 8GB dan storan dalaman 256GB. Skrinnya berukuran 6.57-inci dan melengkung di sisi, dari jenis AMOLED serta resolusi HD Penuh. Terdapat takuk di atas skrin yang menempatkan kamera hadapan.
Secara teknikal, ia memiliki kamera belakang yang sama iaitu kamera utama 40MP, kamera ultra lebar 20MP, kamera telefoto 8MP dan kamera ToF. Tetapi kali ini ia menawarkan zum hibrid 10x, berbanding hanya 5x di Huawei P30 Pro sebelum ini. Kamera hadapannya juga masih kekal dengan sensor 32MP.
Bateri di dalamnya masih sama, berkapasiti 4,200mAh dan menyokong pengecasan pantas SuperCharge 40W. Walaupun belum disahkan, telefon ini dipercayai menjalankan sistem operasi EMUI 10.1 berasaskan Android 10, serta memiliki perkhidmatan Google Mobile Services.
Huawei P30 Pro New Edition kini telah dibuka tempahan awal di Jerman pada harga EUR749 (~RM3,508) dan mula dijual pada 1 Jun 2020. Tiada khabar lagi bilakah ia akan dijual di negara lain.
Adakah anda berminat dengan model lama flagship yang diberi sedikit pembaharuan ini jika ia dijual di Malaysia kelak?