Sudah lama tidak mendengar berita tentang telefon pintar Sony di Malaysia. Tetapi hari ini, Sony Malaysia mengumumkan ketibaan telefon pintar Xperia 10 II, sebuah telefon pintar yang memenuhi citarasa peminat telefon pintar lama. Saiznya kecil yang sedap dipegang di tangan, dan memiliki bingkai tebal agar tiada keperluan untuk takuk dan lubang di skrin.
Tetapi telefon ini tidak akan hadir begitu cepat di Malaysia. Sony Malaysia menyatakan, Xperia 10 II akan dijual di Malaysia seawal bulan Julai 2020, dengan harga rasmi RM1,799. Terdapat empat warna disediakan iaitu hitam, kelabu, hijau dan biru.
Sony Xperia 10 II adalah telefon pintar kelas pertengahan, dengan kuasa cip Qualcomm Snapdragon 665. Ia disertakan RAM sebanyak 4GB dan storan dalaman 128GB. Ia juga sedia menerima storan tambahan melalui kad mikroSD sehingga 1TB.
Skrin telefon ini memiliki nisbah 21:9, lebar yang sama seperti skrin di pawagam. Ia berukuran 6.0-inci dengan resolusi HD Penuh (2520×1080), menggunakan paparan OLED serta memiliki teknologi paparan Triluminos yang sama di TV Sony Bravia. Skrin ini dilapisi kaca Cornig Gorilla Glass 6 untuk lebih tahan lasak.
Terdapat tiga kamera belakang di telefon ini. Ia menggabungkan kamera utama 12MP F2.0 Exmor R, kamera ultra lebar 8MP F2.2 dan kamera telefoto 8MP F2.4 dengan zum optikal 2x. Kamera hadapannya pula 8MP F2.0.
Dengan saiz yang kecil, bateri di dalam telefon ini hanyalah 3,600mAh. Ia tidak menyatakan sokongan pengecasan pantas serta pengecasan wayarles, tetapi ia menggunakan sambungan USB-C untuk mengecas.
Telefon ini mengekalkan jek audi0 3.5mm dan menyokong teknologi bunyi Hi-Res. Sayangnya ia tiada speaker stereo. Tarikan lain pada telefon ini ialah ia kalis air dan debu dengan pengiktirafan IP68.
Jika anda berminat untuk memiliki telefon ini, anda perlu menunggu sehingga Julai untuk membelinya. Sementara itu, boleh dapatkan maklumat lanjut mengenaninya di laman produk Sony Xperia 10 II.