Lebih separuh responden yang terlibat dalam tinjauan dalam talian oleh Cinema Online, akan pergi menonton wayang dalam tempoh sebulan selepas pawagam kembali beroperasi, sekiranya Perintah Kawalan Pergarakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan.
Jumlah berkenan mewakili 52.94% daripada 800 responden berumur antara 15 hingga 60 tahun, majoritinya dari Lembah Klang. 30% daripadanya pula menyatakan akan terus membeli tiket sekiranya pawagam dibuka semula.
Pengarah Urusan Cinema Online, Marcle Lariche berkata, tinjauan ini dilakukan bagi melihat tahap keinginan rakyat Malaysia untuk kembali menonton wayang di panggung wayang.
Selain itu, ia juga bertujuan bagi memperbetulkan persepsi dan pandangan negatif berkaitan pawagam yang berpunca daripada penularan berita palsu, sekali gus memberi keyakinan kepada masyarakat.
Dijangkakan pawagam akan kembali beroperasi dalam tempoh selepas 2 bulan akan datang. Sekiranya ia berlaku, filem terawal yang bakal ditayangkan adalah filem seram tempatan, Salina, arahan Pekin Ibrahim. Ia dijadualkan memasuki pawagam pada 2 Julai 2020.
Selain itu, terdapat beberapa filem antarabangsa juga yang dijadulakan bakal ditayangkan pada bulan Julai iaitu Mulan, Tenet dan sekuel baharu The Purge.
Terdahulu, sebelum penguatkuasaan PKP, MBO telah melaksanakan penjarakan sosial tempat duduk di dalam panggung sebagai langkah mengelak jangkitan COVID-19 dalam kalangan penonton. Rajah penjarakan sosial di MBO adalah seperti berikut:
Syarikat itu turut menyediakan pensanitasi tangan dan tisu lap antiseptik untuk pengunjung gunakan sebagai langkah kebersihan ketika berada di pawagam.
Dalam musim PKPB, aktiviti menonton wayang amat dirindui. Mungkin dengan prosedur operasi standard (SOP) yang sesuai, pawagam boleh beroperasi semula. Namun, dengan normal baharu, pengalaman menonton wayang juga berbeza berbanding sebelum ini.
Sumber: Malay Mail, NST